SAKURA Band.
SAKURA Band.
Ramlah Zainal


Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt yang akan berlangsung di Miri, Sarawak, esok turut diserikan dengan acara sesi beramah mesra dengan peminat.

Sesi beramah mesra dengan artis popular akan berlangsung di Imperial Mall, Miri (Old Wing) hari ini (Jumaat) jam 8 malam hingga 9 malam.

Acara berdurasi satu jam itu akan diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya kuiz, sesi autograf serta peluang bergambar dengan artis terkenal tanah air .

Selain itu, barisan artis popular juga sudah bersiap sedia menghiburkan peminat di pusat beli-belah, Miri Fan City, malam esok.

Artis terbabit ialah Akim & The Majistret, Radhi OAG, Ronnie Hussein, Amelina, Sandra dan Sakura Band.

Konsert ini cukup istimewa buat Sakura Band kerana buat julung kalinya menjayakan persembahan di Miri.

Vokalis dan jurucakap kumpulan itu, Melley Matius atau lebih mesra disapa Mell berkata mereka tidak mahu melepaskan peluang keemasan memeriahkan Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama rakan artis lain.

“Kami sangat teruja kerana ini persembahan pertama di Miri. Kami juga tidak sabar mahu bertemu penduduk bandar ini. Diharap mereka dapat menerima muzik Sakura Band dan dapat mengenali kami dengan lebih dekat,” katanya.

Sambung Mell lagi, mereka akan mempersembahkan tiga lagu iaitu Cake By The Ocean-DNCE, Polaroid dan Melepaskanmu.

“Sebagai pendatang baru, kami juga tidak sabar memperdengarkan single keempat kami, Polaroid yang lagu dan liriknya adalah ciptaan kami sepenuhnya. Kami tak sabar nak mendendang lagu itu kepada peminat di Miri nanti.

“Sebagai persediaan, kami juga kerap berjumpa untuk mengadakan sesi latihan untuk memberikan persembahan terbaik. Kami juga diberi kepercayaan untuk membuka tirai pesembahan nanti.

“Semestinya ada kejutan yang akan kami tampilkan. Justeru, kepada warga Miri jangan lepaskan peluang menonton konsert ini. Kami juga akan mengajak penonton menyanyi bersama-sama nanti,” katanya.

Selain berhibur, pengunjung turut berpeluang memenangi hadiah lumayan dalam acara cabutan bertuah antaranya TV LED 40”, Samsung Galaxy Tab, Samsung Galaxy J1 Ace dan lima produk Air Cooler.

Siri Jelajah 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt turut dijayakan bersama rakan penaja air mineral semula jadi Cactus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 11:43 AM