AHLI kumpulan  Sakura Band sudah lapan tahun bersama dalam bidang muzik.
AHLI kumpulan Sakura Band sudah lapan tahun bersama dalam bidang muzik.
Sudirman Mohd Tahir

SELEPAS lama tidak muncul dengan buah tangan terbaharu, kumpulan Sakura Band yang pernah popular menerusi lagu Polaroid, Pelarian dan Melepaskanmu kini kembali dengan karya baharu sekali gus mengubat kerinduan peminat mereka.

Sakura Band yang dianggotai oleh Melly Matius (Mell), Ali, Haniff dan Akai kali ini mempertaruhkan lagu Monopoli. Lagu yang dicipta dan ditulis sepenuhnya oleh ahli kumpulan Sakura Band ini mendapat sentuhan Taja selaku penerbit.

Menurut Mell yang juga vokalis kumpulan, lagu itu menceritakan mengenai perasaan seseorang individu yang mencurahkan sepenuh hidupnya ke atas perkara atau orang yang disayangi.

"Dalam lirik lagu ini, ia lebih menjurus kepada dedikasi dan komitmen dalam muzik serta persahabatan kami yang sudah lebih lapan tahun.

"Perasaan untuk terus bersama sentiasa memonopoli atau menakluk diri masing-masing sehingga membuatkan kami ingin terus berkarya dan menghasilkan muzik. Dalam erti kata lain, ia adalah sebahagian daripada hidup Sakura Band sendiri," katanya.

Mell berkata, lagu itu turut menampilkan video muzik istimewa yang cuba menggambarkan perjalanan dan detik indah kumpulan mereka sepanjang lapan tahun bersahabat dan berkarya bersama.

"Oleh kerana video muzik ini seolah-olah mengimbas kembali perjalanan kumpulan kami, terdapat beberapa babak yang boleh dianggap penuh emosi buat kami sendiri saat menonton dan merakamnya.

"Kami harap peminat bukan sahaja dapat menerima dan menyukai lagu ini tetapi juga dapat merasai apa yang kami cuba sampaikan melalui lagu dan cerita dalam video muzik ini," katanya.

Lagu Monopoli adalah edaran Universal Music Malaysia sudah dilancarkan di semua platform digital muzik bermula 27 November lalu dan serentak dengan itu peminat boleh menonton video muzik rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 6:20 AM