Empangan Babagon
Empangan Babagon
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Empangan Babagon di Penampang, dekat sini yang menjadi sumber air mentah utama penduduk bandar raya ini bakal dijadikan tapak projek tenaga solar terapung yang pertama di Sabah.

Projek yang disasar mampu menjana 15 Megawatt (MW) tenaga elektrik itu dilaksanakan Jetama Sdn Bhd (Jetama) selaku syarikat konsesi air yang mengurus Empangan Babagon dan merawat air mentah dari empangan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Jetama, Ahmad Naim Uddang berkata, projek yang dijangka dimulakan dalam masa terdekat itu adalah susulan kejayaan projek solar pertamanya yang dilaksanakan di Labuan.

Katanya, pelaksanaan projek loji solar berskala besar (LSS) itu menjadikan Jetama kini dikenali sebagai antara peneraju dalam industri kelestarian tenaga di samping memegang konsesi air selaras misinya dalam 'Mentakrifkan Semula Air dan Tenaga'.

"Jetama berjaya melaksanakan projek LSS berkapasiti 10 MW di Labuan. Projek ini mencapai tarikh operasi komersial pada Februari lalu dan kini menjana pendapatan tambahan yang signifikan kepada Jetama selama tempoh 21 tahun.

"Dalam masa yang terdekat ini, Jetama bakal mengorak sejarah baharu dengan rancangan untuk melaksanakan projek solar terapung berkapasiti 15 MW di Empangan Babagon tidak lama lagi.

"Projek pertama di Sabah itu akan mengukuhkan lagi kedudukan Jetama sebagai pemain berinovasi dalam industri tenaga diperbaharui selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ)," katanya pada sambutan Aidilfitri Jetama, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dan Pengerusi Jetama, Datuk Yusof Abdul Mannan.

Sementara itu, Masidi memuji kesungguhan Jetama selaku sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah dalam mengembangkan perniagaannya hingga merekodkan prestasi kewangan yang membanggakan pada tahun lalu.

Beliau turut mengharapkan agar syarikat itu terus melakar pencapaian yang baik melalui aktiviti perniagaan yang dijalankan dan mampu menyumbang dividen kepada kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 9:14 AM