Roti yang dijual bagi memperingati Lee Kuan Yew.
Roti yang dijual bagi memperingati Lee Kuan Yew.

Singapura: Rantaian kilang roti Kumpulan BreadTalk meminta maaf dan menghentikan jualan ban memperingati Perdana Menteri pertama, Lee Kuan Yew selepas dikritik tidak sensitif oleh pengguna media sosial.

Di laman Facebook syarikat itu, pemiliknya menyampaikan permohonan maaf yang tidak terhingga kerana memperkenalkan ban untuk memperingati Lee Kuan Yew di semua cawangan BreadTalk, kelmarin.

“Niat kami hanya untuk mencipta satu produk memperingati memori mendiang Lee Kuan Yew yang amat dihormati kerana kami juga merasai kehilangannya bersama rakyat Singapura lain.

“Bagaimanapun, kami sedar pendekatan ini tidak sesuai dan tidak sensitif,” katanya.

Sehubungan itu, BreadTalk berkata pihaknya akan meneruskan dengan perancangan asalnya untuk menyumbangkan hasil jualan berjumlah S$30,000 (RM80,000) kepada badan kebajikan Community Chest.

Walaupun rata-rata dikritik sebagai taktik pemasaran murahan, ada juga berpendapat ban itu sepatutnya diedarkan kepada ribuan orang yang menunggu giliran untuk memberi penghormatan terakhir kepada Lee yang meninggal dunia Isnin lalu pada usia 91 tahun.

“Perbuatan mengaitkan Lee dengan ban itu seperti mengambil kesempatan kerana sepatutnya dia layak diberi penghormatan lebih tinggi. Malulah BreadTalk,” kata pengguna Facebook, Agnes Heng.

Sementara itu, rakyat Singapura terus beratur untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Lee, kelmarin malah setakat jam 8.30 pagi, tempoh menunggu adalah dua jam setengah. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 8:34 AM