Jurulatih kecergasan Rastislav Bozik menunjukkan teknik latihan kepada skuad B-22 di Wisma FAM.
Jurulatih kecergasan Rastislav Bozik menunjukkan teknik latihan kepada skuad B-22 di Wisma FAM.
Oleh Aziman Rosdi

Kelana Jaya: Jurulatih skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Razip Ismail memberi amaran kepada anak buahnya supaya tidak memperlekehkan kemampuan Vietnam dan Macau yang mampu memusnahkan harapan mereka untuk layak secara automatik ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di Qatar tahun depan.

Pengendali itu berkata, biarpun di atas kertas pasukan pilihan Jepun sebagai penghalang terbesar skuad negara pada kempen kelayakan Kumpulan I di Stadium Shah Alam namun mereka perlu fokus kepada setiap perlawanan.

“Kita jangan pandang pada Jepun saja, kita kena beri perhatian pada setiap perlawanan.

“Kalau kita nak layak secara automatik, kita kena menang ketiga-tiga perlawanan. Apa yang penting aksi pertama dengan Vietnam, kita kena dapatkan keputusan baik sebelum menentang Jepun,” katanya yang ditemui pada sesi latihan semalam.

Skuad muda negara akan memulakan kempen kelayakan esok berdepan Vietnam sebelum turun menentang Macau pada 29 Mac dan Jepun (31 Mac) untuk memburu tiket automatik ke pusingan akhir selaku juara kumpulan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 7:10 AM