Kuala Lumpur: Tanpa penyerang utama Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II), Shafiq Shaharudin dalam skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee bukan saja terpaksa menyandarkan harapan kepada pemain yang belum menjaringkan gol malah tidak beraksi dalam sebarang aksi kompetitif musim ini apabila bertandang ke Bangkok bagi tiga aksi persahabatan dengan kelab Thailand bermula 22 Mac ini.

Shafiq yang meledak lima gol pada kempen liga tahun ini dipanggil menyertai latihan fasa pertama skuad B-23 bagi persediaan ke Sukan SEA Singapura, awal bulan ini namun Kim Swee melepaskan pemain itu untuk menyertai skuad B-22 negara bimbingan Razip Ismail bagi aksi kelayakan AFC B-23 hujung bulan ini di Shah Alam.

Ketiadaan anak bekas pemain kebangsaan Shaharuddin Abdullah itu menyaksikan Kim Swee hanya mempunyai penyerang Muhammad Ferris Danial Mat Nasir yang masih belum membuat penampilan pertama dengan FELDA United, Rozaimi Abd Rahman (Sabah) yang bergelut dengan kecederaan, Muhammad Syafiq Ahmad (Kedah) dan Mohamad Arif Fadzilah Abu Bakar (T-Team) dalam senarai 26 pemain.

“Ini pemain terbaik yang saya miliki buat masa ini kerana anda tahu saya tidak boleh memanggil pemain yang kini bersama Razip. Ada pemain yang terpaksa bersama skuad Razip dan Dollah Salleh (Harimau Malaya) yang mempunyai perlawanan persahabatan antarabangsa dengan Oman.

“Bagi saya pusingan kelayakan yang diharungi skuad B-22 lagi penting dan juga aksi Harimau Malaya yang membabitkan ranking negara berbanding aksi persahabatan skuad B-23 tahun di Bangkok jadi keutamaan lebih kepada dua pasukan itu,” kata Kim Swee kepada Harian Metro,

Selain Shafiq, pengendali itu juga tidak dapat menggunakan khidmat dua lagi pemain Johor DT II iaitu Muhammad Akram Mahinan dan Che Rashid Che Halim yang dipilih menyertai latihan Harimau Malaya bermula 18 Mac ini.

Skuad B-23 bakal memulakan latihan pusat 18 Mac ini dengan pemain melaporkan diri secara berperingkat memandangkan ada pemain terikat dengan perlawanan Piala FA dan Piala AFC bersama pasukan masing-masing.

Di Bangkok, skuad muda negara akan menguji kemampuan kelab utama Thailand Osotspa FC dan dua kelab liga divisyen satu, Air Force United dan Pattaya United.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:27 AM