Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Pengendali Bawah 22 Tahun (B-22) negara Mohd Razip Ismail (gambar) akan menunggu aksi kedua Liga Singapura (Liga-S) menentang Warriors FC malam ini sebelum memutuskan senarai pemain yang akan dipanggil menyertai kem latihan pusat kelayakan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) penghujung bulan ini.

Tindakan itu diambil bagi membolehkan Razip yang membimbing skuad B-22 menjulang Piala Emas Bangabandhu, menilai keperluan pasukannya terutama terhadap pemain cedera serta tidak dapat beraksi untuk saingan Kumpulan I di Shah Alam, dari 27 hingga 31 Mac ini.

“Saya merancang mengadakan kem latihan pusat bermula Selasa depan. Saya akan lihat keperluan pasukan dulu kerana tidak semua pemain akan saya panggil. Saya tidak mahu dedahkan mereka yang akan digugurkan kerana perlu membuat penilaian terutama membabitkan aspek kecederaan,” kata Razip yang menggalas tugas getir membawa skuad B-22 mara secara merit ke pusingan akhir Piala AFC B-23 tahun depan.

Ketua jurulatih B-23 tahun negara Datuk Ong Kim Swee semalam menjelaskan beliau akan memberikan keutamaan kepada Razip terlebih dulu untuk memilih pemain ketika kedua-dua jurulatih berkenaan mempunyai misi dan tanggungjawab masing-masing.

Kim Swee diletakkan sasaran meraih pingat emas Sukan SEA di Singapura pada Jun selain turut dijangka mengadakan kem latihan pusat pada 15 hingga 31 Mac nanti untuk kunjungan ke Thailand bagi aksi persahabatan. Razip pula mengadakan kem latihan pusat bermula minggu depan.

“Sejak awal lagi saya sudah katakan, jika ada keperluan saya akan mengambil pemain tertentu. Saya turut berdepan kekangan kerana Liga Malaysia sedang berjalan. Sehingga kini saya melihat perlu memberi perhatian terhadap menambah sengat di jentera serangan,” katanya.

Antara pemain yang berada dalam radar Razip termasuk perancang tengah Selangor Mohd Nazmi Faiz Mansor dan penyerang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) II Shafiq Shaharuddin.

Bagaimanapun Razip dilihat berdepan masalah sekiranya mahu menggunakan khidmat pemain seperti Nazmi Faiz dan Shafiq kerana kedua-duanya terbabit dalam pusingan ketiga Piala FA yang dijadual pada 30 dan 31 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 9:22 AM