Oleh Shamsul Munir Safini

Kangar: Seorang lelaki yang juga pengusaha kedai runcit di sini, didenda RM9,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, di atas pertuduhan memiliki 660 rokok seludup pada November 2011 lalu.

Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri, menjatuhkan hukuman berkenaan sejurus mendengar pengakuan tertuduh Norizan Md Yusoff, 46.

Berdasarkan fakta kes, Norizan pada 12 November 2011 kira-kira 11.05 pagi, Norizan ditahan bersama 660 paket rokok seludup pelbagai jenama yang ditaksirkan bernilai RM816.40 di premis perniagaan Bayu Bumi Enterprise, No 3, KM 8, Gerai Taman Sempurna Jaya, Beseri.

Dia didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama membabitkan hukuman tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Abdul Malik Awang Kechik@Ramli.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 3:23 PM