BENG Hai (kiri) bersama pemain negara giat berlatih.
BENG Hai (kiri) bersama pemain negara giat berlatih.
Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sebelum berdepan kuasa besar hoki dunia Belgium dan Great Britain dalam dua aksi terakhir, anak buah Tai Beng Hai wajib memastikan enam mata maksimum dapat dilakar ketika berdepan China dan Ireland dalam Kumpulan B saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium, bermula 20 Jun ini.

Dua aksi itu bakal menentukan untung nasib skuad The Speedy Tigers terutama dalam laluan ke suku akhir kerana sekiranya Malaysia mampu meraih kemenangan, pasukan negara bakal mengisi kedudukan ketiga kumpulan sekali gus dapat mengelak daripada bertemu juara Piala Dunia Australia.

Menurut bekas pengendali kebangsaan, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah untuk layak ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro tahun depan skuad hoki negara harus menamatkan kempen di Belgium sekurang-kurangnya di kedudukan lima terbaik dengan aksi di suku akhir akan menjadi penentu kemaraan Malaysia selepas kali terakhir beraksi di pentas Olimpik 15 tahun lalu.

“Bukan mudah untuk tewaskan dua pasukan terbaik Eropah iaitu pasukan tuan rumah (Belgium) dan Great Britain, tapi peluang kita agak cerah berdepan China dan Ireland.

“Berdasarkan perkiraan saya, kalau kita mampu menang dua aksi awal, kerja pasukan negara sedikit mudah di suku akhir kerana saya jangkakan India atau Pakistan akan mengisi tempat kedua dan ketiga Kumpulan A dengan Australia pasti muncul juara.

“Tapi sekiranya kita kalah di tangan China atau Ireland, saya rasa Australia bakal menanti dan sudah pastinya kemenangan berpihak kepada mereka. Bukan saya mahu menidakkan keupayaan skuad negara, namun itulah realitinya kerana Australia memang kuat.

“Namun saya percaya, sekiranya kita menang dua aksi awal laluan kita lebih terbuka dengan syarat pasukan kebangsaan perlu fokus dan jangan sia-siakan peluang yang ada terutama bertemu China dan Ireland,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Bagaimanapun, tugasan berat bakal menanti Beng Hai apabila difahamkan China melakukan  kejutan dalam aksi persahabatan kelmarin dengan mengejutkan Perancis menerusi kemenangan 3-1 yang memberi isyarat negara Tembok Besar itu sudah bersedia menghadapi kempen kali ini.

“Saya terkejut mendapat tahu China berjaya menumpaskan Perancis. Bagi saya ini satu kejutan dan Malaysia harus berwaspada.

“Begitu juga Ireland, kebanyakan pemain negara itu beraksi dalam liga utama Eropah yang saya kira mereka akan memberi tentangan sengit kepada pasukan kita.

“Begitupun, barisan pemain kita juga bukan mudah untuk ditumpaskan kerana kebanyakan pemain yang ada ini semuanya muka lama yang sudah bermain bersama sejak dua tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 1:05 PM