Abuja: Tentera Nigeria yang memerangi pemberontakan di timur laut negara itu berkata mereka tidak mempunyai maklumat mengenai 219 pelajar perempuan yang diculik sebelas bulan lalu oleh militan Boko Haram.

Panglima tentera Nigeria Leftenan Jeneral Kenneth Minimah berkata demikian ketika menjawab soalan media mengenai nasib pelajar terbabit.

“Tiada sebarang berita setakat ini walaupun kami membuat siasatan menyeluruh.

“Apabila Boko Haram melarikan diri, mereka turut membawa semua keluarga dan tanggungan mereka.

“Mereka yang berjaya ditahan juga tidak mempunyai maklumat mengenai pelajar perempuan yang diculik itu,” katanya.

Bagaimanapun, Minimah bersikap optimis dengan memberitahu peluang untuk mengetahui status pelajar terbabit semakin cerah apabila wilayah yang dikuasai Boko Haram kecil.

Boko Haram menculik 276 pelajar perempuan sekolah Chibok di Borno pada April 2014.

Seramai 57 pelajar terbabit berjaya melarikan diri, namun 219 lagi masih dalam tahanan kumpulan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:14 AM