ANTARA pelajar yang cedera dalam serangan semalam dirawat di hospital di Potiskum.
ANTARA pelajar yang cedera dalam serangan semalam dirawat di hospital di Potiskum.

Kano (Nigeria): Kumpulan Boko Haram dituduh membunuh hampir 50 pelajar dalam satu serangan bom di timur laut Nigeria, antara serangan paling buruk terhadap sekolah yang mengajar kurikulum Barat di negara itu.

Serangan di sekolah pelajar lelaki di Potiskum itu adalah keganasan terbaru dilancarkan terhadap pelajar di negeri Yobe dan yang kedua di bandar berkenaan dalam masa lapan hari.

Serangan itu dilakukan sehari selepas pemimpin kumpulan itu, Abubakar Shekau, dalam satu rakaman video, menolak sekali lagi dakwaan kerajaan Nigeria bahawa kedua-dua pihak bersetuju mengadakan gencatan senjata dan rundingan damai.

Pelajar di Sekolah Menengah Sains Kerajaan di Potiskum itu dilapor sedang menanti untuk mendengar ucapan pengetua apabila letupan berlaku pada jam 7.50 pagi (2.50 petang waktu tempatan).

“Kira-kira 49 pelajar terbunuh dan 79 cedera,” kata jurucakap polis Nigeria, Emmanuel Ojukwu.

Menurutnya, dia percaya Boko Haram bertanggungjawab.

Seorang guru Adamu Alkassim berkata, letupan itu sungguh kuat menyebabkan pelajar tercampak.

Pekerja menyelamat pula berkata, kebanyakan mangsa yang cedera, tenat.

April lalu, kumpulan itu menculik 276 pelajar perempuan di bandar Chibok di negeri Borno, juga di timur laut Nigeria.

Sehingga ini, ia masih menahan 219 daripada mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:05 AM