BIDOGLIO pada sidang media selepas menentang NSFC, dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi. -FOTO Bernama
BIDOGLIO pada sidang media selepas menentang NSFC, dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi. -FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio optimis pasukan bimbingannya akan bangkit dengan persembahan lebih berkualiti selepas tampak bergelut untuk menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri, semalam

Jelas pengendali kelahiran Argentina itu, sudah menjadi lumrah apabila turun beraksi dalam perlawanan liga agak sukar untuk menjelmakan momentum yang konsisten tatkala setiap pemain tampak bersikap berhati-hati bagi mengelak melakukan kesilapan.

Beliau berkata, apa yang berlaku dalam permainan sepanjang 80 minit tidak membimbangkan malah yakin betapa barisan pemainnya akan menjadi lebih baik sepanjang kempen saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini.

"Ianya satu perlawanan yang sukar kerana lawan bermain secara kompak dan kami perlu lebih sabar untuk mencari ruang terbuka tapi seperti biasa perlawanan pertama sering sukar bagaimanapun saya percaya pasukan akan bertambah baik selepas ini.

"Kami perlu mengubah cara permainan tetapi perlawanan hari ini (semalam) tampak sukar dan kami perlu bekerja keras bagi membentuk 'set piece' yang lebih berkesan dan mengelirukan pasukan lawan

"Setiap pemain juga faham tugas mereka kerana saingan liga musim ini masih panjang dan kami juga akan melakukan penggiliran pemain dengan kesesuaian taktikal permainan sepanjang musim ini," katanya.

Mengulas mengenai keupayaan skuad kendalian Azzmi Ab Aziz yang merobek gawang JDT pada minit ke-28 hasil jaringan pemain import, Hein Htet Aung, Bidoglio jelas kecewa dengan kegagalan barisan pertahanan memberi fokus untuk menghalang serangan skuad Hoben Jang Hoben

Ditanya mengenai Arif Aiman Hanapi yang tidak diturunkan dalam perlawanan itu, Bidoglio menambah pemain sayap kanan JDT itu mengalami kecederaan dan mungkin akan diturunkan pada aksi akan datang kerana mahu memastikan pemain itu pulih sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 2:27 PM