GAMBAR  dipetik dari klip video menunjukkan pemimpin Boko Haram Abubakar Shekau (tengah) berucap menafikan bersetuju mengadakan gencatan senjata.
GAMBAR dipetik dari klip video menunjukkan pemimpin Boko Haram Abubakar Shekau (tengah) berucap menafikan bersetuju mengadakan gencatan senjata.

Kano: Kumpulan Boko Haram semalam, mendakwa 219 pelajar perempuan yang diculiknya di Nigeria awal tahun ini memeluk Islam dan sudah dikahwinkan.

Dalam video terbaru yang diperoleh AFP, pemimpin kumpulan militan itu, Abubakar Shekau juga menyangkal dakwaan kerajaan Nigeria bahawa ia bersetuju mengadakan gencatan senjata.

Abubakar juga memberitahu, mereka menahan seorang warga Jerman yang diculik di Adamawa, timur laut Nigeria, Julai lalu.

Pelajar perempuan itu diculik dari bandar Chibok, kawasan pedalaman di negeri Borno, timur laut Nigeria April lalu.

Video baru itu diedarkan selepas pengumuman mengejut oleh tentera Nigeria 17 Oktober lalu kononnya persetujuan dicapai dengan Boko Haram untuk menamatkan sengketa dan membebaskan pelajar berkenaan.

Kerajaan Nigeria bertegas menyatakan rundingan damai dengan Boko Haram diadakan di Ndjamena, ibu negara Chad.

Bagaimanapun Abubakar, dengan berpakaian tentera dan diapit oleh 15 lelaki bersenjata berkata dalam video itu: “Kami tidak mengadakan gencatan senjata dengan sesiapa.

“Kami tidak berunding dengan sesiapa. Kami tidak akan berunding. Kami tidak ada kena mengena dengan sebarang rundingan.”

Pemimpin militan itu kemudian berkata, semua pelajar yang diculik itu sudah memeluk Islam dan sudah dikahwinkan.

“Kami sudah mengahwinkan mereka dan kini mereka berada di rumah suami masing-masing,” katanya.

Kumpulan hak asasi manusia, Human Rights Watch dalam satu laporan minggu ini berkata, Boko Haram menahan kira-kira 500 wanita dan kanak-kanak perempuan dan mengahwinkan mereka secara paksa adalah perkara biasa. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 6:43 AM