GAMBAR fail menunjukkan sebahagian daripada pelajar Nigeria yang diculik Boko Haram pada April lalu.
GAMBAR fail menunjukkan sebahagian daripada pelajar Nigeria yang diculik Boko Haram pada April lalu.

Abuja: Nigeria semalam mendakwa mencapai persetujuan dengan kumpulan militan Boko Haram untuk mengadakan gencatan senjata dan membebaskan lebih 200 pelajar sekolah yang diculik sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, keraguan mengenai perkembangan itu timbul serta-merta.

Ketua Turus Tentera Alex Badeh memberitahu pegawai kanan tentera dari Nigeria dan Cameroon yang bermesyuarat di Abuja bahawa gencatan senjata itu dipersetujui antara kerajaan dengan dengan kumpulan pemberontak terbabit.

Pengumuman Badeh itu dibuat sejurus seorang pembantu Presiden Goodluck Jonathan, Hassan Tukur, memberitahu persetujuan menamatkan sengketa dicapai berikutan perbincangan yang diadakan, termasuk pembebasan 219 pelajar sekolah yang diculik sejak April lalu.

Bagaimanapun, pengalaman lalu yang menyaksikan dakwaan seperti itu dibuat serta nasib pelajar belasan tahun itu membuat ramai pemerhati berhati-hati mempercayainya.

Jonathan dijangka mengisytiharkan hasratnya untuk bertanding mempertahankan jawatannya beberapa minggu lalu dan khabar positif mengenai tebusan dan keganasan itu sudah pasti meningkatkan imejnya dari segi politik.

Pakar Boko Haram, Shehu Sani yang sering mewakili kerajaan dalam rundingan dengan Boko Haram berkata, dia tidak pernah dengar mengenai Danladi Ahmadu, yang didakwa Tukur mewakili militan berkenaan dalam perbincangan terbaru.

Jurucakap keeselamatan kerajaan sendiri Mike Omeri juga berkata, belum ada persetujuan dicapai mengenai pembebasan pelajar berkenaan.

Tukur sebelum ini berkata, dia mewakili kerajaan dalam dua perbincangan dengan Boko Haram di Chad dengan presiden negara itu, Idriss Deby menjadi orang tengah.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:01 AM