DAISUKE (kiri) memperkenalkan Isuzu D-Max Diablo.
DAISUKE (kiri) memperkenalkan Isuzu D-Max Diablo.

Kuala Lumpur: Isuzu Malaysia Sdn Bhd memperkenalkan varian edisi terhad sehingga 300 unit bagi Isuzu D-Max Diablo dengan rekaan yang unik, berani dan bergaya.

Pengarah Eksekutifnya Daisuke Ishida berkata, model berkenaan diperkenalkan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan perbezaan.

“Saya percaya ramai pengguna yang mahu beralih daripada kebiasaan, mempamerkan kebebasan serta keperibadi melalui kenderaan mereka miliki.

“Isuzu D-Max Diablo menawarkan platform yang sempurna untuk menzahirkan individualisme seseorang dan meneroka sempadan permotoran lebih hebat,” katanya.

Isuzu D-Max Diablo tampil berbeza dengan kemasan krom bertukar kelabu gelap, selain didatangkan warna hitam keseluruhan.

Ia turut hadir dengan lampu siang LED serta tampak tegap selepas padanan rim aloi Lenso bersaiz 17 inci.

Bahagian dalaman semakin garang dengan padanan material kulit merah pada kerusinya.

Sistem hiburan multimedia jenama Blaupunkt hadir dengan kamera mengundur.

Bagi memastikan keselamatan barangan, Isuzu D-Max Diablo hadir bersama penutup ‘D-Loc’ dan didatangkan spoiler pada bahagian belakang.

Varian itu ditawarkan untuk model menggunakan enjin 2.5 dan 3.0 liter yang masing-masing dijual pada harga RM110,189.60 serta RM116,959.90 atas jalan termasuk insurans.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:11 AM