Lizam Ridzuan


ISUZU Malaysia Sdn Bhd sebagai pengedar utama kenderaan Isuzu di negara ini memperkenalkan trak pikap D-Max dengan enjin baharu RZ4E.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Koji Nakamura berkata, Isuzu D-Max kini dengan enjin 1.9 liter Blue Power turbo diesel itu menggabungkan kemajuan teknologi dan kepakaran mereka dalam menghasilkan kenderaan tahan lasak dan jimat minyak.

“Model ini sebagai pikap pertama menerima penarafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang menawarkan enjin rendah emisi, senyap dan kurang geseran meskipun dalam bentuk dan saiz lebih kecil serta kompak,

“Ia memberi kelegaan kepada pengguna dengan kos penyelenggaraan dan cukai jalan lebih rendah,” katanya ketika pelancarannya, hari ini.

Ditawarkan dalam 11 varian daripada pacuan empat roda (4x4) dan dua roda (4X2) iaitu model Premium (4), Basic (Type B) (5) dan Single Cab (2), ia bagi disesuaikan dengan pelbagai tujuan penggunaan dan keperluan gaya hidup.

Selain itu, enjin 1,898 cc itu lebih berkuasa 10 peratus dan tork 9 peratus lebih tinggi dan ia didatangkan dengan kemasan luaran dan dalaman baharu.

Untuk pasaran Malaysia, Isuzu D-Max 1.9 liter Blue Power dijual pada harga bermula RM106,000 hingga RM116,000 (Premium), RM80,000 hingga RM105,000 (Basic (Type B) dan RM86,000 (Single Cab).

Selain 1.9 liter, turut ditawarkan enjin 3.0 liter Blue Power dengan harga bermula RM121,000 (Premium), RM107,000 (Basic (Type B) dan RM93,000 (Single Cab).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 9:15 PM
ISUZU D-Max 1.9 liter Blue Power menerima penarafan EEV. FOTO Aswadi Alias
ISUZU D-Max 1.9 liter Blue Power menerima penarafan EEV. FOTO Aswadi Alias