NADAL tewas kepada Lehecka di Terbuka Madrid. -FOTO AFP
NADAL tewas kepada Lehecka di Terbuka Madrid. -FOTO AFP
AFP

Madrid: Rafael Nadal mengucapkan selamat tinggal kepada Terbuka Madrid selepas tersingkir dalam saingan 16 terbaik kepada Jiri Lehecka pada penampilan terakhir bintang Sepanyol itu di kejohanan itu.

Juara perseorangan 22 kali Grand Slam berusia 37 tahun itu, pemenang rekod lima gelaran Terbuka Madrid, tunduk 5-7, 4-6 kepada pemain pilihan ke-30 dari Czech, Lehecka.

"Saya gembira. Ia adalah minggu yang sangat istimewa untuk saya, sangat positif dan sangat emosional. Saya mempunyai peluang untuk bermain sekali lagi di gelanggang ini," kata Nadal.

Nadal belum memutuskan bila dia akan menggantung raket musim ini tetapi persaraan bekas pemain nombor satu dunia itu semakin hampir.

Beberapa masalah fizikal menghalangnya sejak dua tahun lalu dan masih belum ada kepastian sama ada dia akan bertanding di Roland Garros akhir bulan ini.

Satu upacara istimewa diadakan di Stadium Manolo Santana selepas perlawanan semalam dengan sepanduk digantung di atas tempat duduk dengan perkataan "Gracias Rafa" dan menandakan tahun-tahun dia memenangi kejohanan Madrid.

"Ini adalah gurauan, kerana saya akan kembali tahun depan," sindir Nadal yang mana keluarganya turut hadir memberi sokongan.

"Apa yang boleh saya katakan ialah terima kasih kepada semua orang yang membantu saya dalam kerjaya saya. Ia belum selesai lagi.

"Ia adalah hadiah yang anda berikan kepada saya di sini. Emosi yang saya dapat daripada pengalaman ini di Madrid, daripada orang Sepanyol.

"Saya bertuah ketika kanak-kanak dapat melakukan kerja yang saya suka. Saya berasa sangat bertuah kerana menjalani kehidupan yang ingin saya jalani. Saya tidak boleh meminta apa-apa lagi."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 11:57 AM