BOMBA memadam kebakaran pada lori berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA memadam kebakaran pada lori berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Amin Jalil


Nilai: Dua orang maut dan seorang terselamat apabila lori membawa ayam yang mereka naiki terbakar selepas terbabit kemalangan di Kilometer 283.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, kejadian kira-kira 3 pagi apabila lori yang membawa muatan ayam hidup yang dipandu N Vasutheven, 48, dari Taman Melawati, Skudai Johor, dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Perak.

"Lori berkenaan hilang kawalan lalu melanggar besi penghadang kiri jalan sebelum terbabas melanggar tiang jejambat sehingga mengakibatkan lori terbabit terbakar 100 peratus.

"Akibat kemalangan, mangsa pemandu lori (Vasutheven) berjaya dikeluarkan oleh orang awam, namun meninggal dunia sejurus selepas itu akibat parah di kepala.

"Kelindan lori, R Mohan Raj, 28, dari PPR Raya Permai, Sungai Besi Kuala Lumpur, yang tersepit di tempat duduk penumpang hadapan, rentung," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

BOMBA mengeluarkan mangsa. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA mengeluarkan mangsa. FOTO Ihsan Bomba

Beliau berkata, seorang lagi mangsa iaitu V Dharshaan, 16, yang juga anak kepada pemandu lori terbabit, sempat keluar sebelum lori terbakar.

Menurutnya, remaja berkenaan mengalami kecederaan pada anggota badan dan menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 9:54 AM