TANGKAP layar menunjukkan lori yang dibawa ke Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Jitra. FOTO TikTok
TANGKAP layar menunjukkan lori yang dibawa ke Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Jitra. FOTO TikTok
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Seorang lelaki memandu lori yang remuk sambil menahan kesakitan demi membawa kelindannya yang cedera parah ke Hospital Jitra (HJ) sejurus selepas kemalangan.

Video yang ditular di TikTok sejak semalam itu menunjukkan pemandu berkenaan kelihatan cemas selepas melihat kelindannya tersepit akibat kemalangan itu.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada 7 Februari lalu.

Beliau berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku membabitkan lori berkenaan dengan sebuah mesin padi di Jalan Sungai Korok.

"Bagaimanapun, pihak hospital tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berhubung kes ini.

"Pesakit dipercayai memandu sendiri lori berkenaan ke HJ dan berhenti betul-betul di hadapan Unit Kecemasan dan Trauma hospital.

"Anggota kecemasan kemudian membantu segera serta mengeluarkan pesakit dari lori berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Othman berkata, pemandu lori terbabit mengalami kecederaan ringan manakala kelindan lori tersepit di bahagian tempat duduk dan berjaya dikeluarkan.

"Pesakit (kelindan) dibawa dengan segera ke Zon Merah untuk diberi rawatan manakala pemandu lori diberi rawatan sebagai pesakit luar.

"Kelindan lori mengalami kecederaan dalam abdomen dan kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 4:05 PM