PENAUNG Kehormat Kejohanan LTdL 2015,   Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) menyarung jersi kepada   Guardini.
PENAUNG Kehormat Kejohanan LTdL 2015, Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) menyarung jersi kepada Guardini.

Langkawi: Pelumba Astana Andrea Guardini melaungkan amaran awal apabila mengungguli peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-20 yang berlangsung semalam.

Bagaimanapun kejayaan berkenaan tidak menggambarkan pelumba kelahiran Itali berkenaan berada dalam kedudukan selesa mendominasi baki tujuh peringkat yang dipertandingkan.

Raja Pecut 2011 dan 2012 berkenaan mengakui cabaran sengit bakal diberikan pelumba muda Orica GreenEdge Caleb Ewan dan jaguh tempatan dari Terengganu Cycling Team (TSG) Anuar Manan yang masing-masing menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dan ketiga.

“Usaha keras saya di Dubai, Oman dan Qatar membuahkan hasil. Saya gembira dengan kemenangan ini dan berharap dapat meraih beberapa kemenangan lagi," kata pelumba pecut berusia 27 tahun itu.

Guardini bagaimanapun tetap waspada keampuhan yang dipamerkan pasukan Orica GreenEdge terutamanya dengan cabaran yang bakal diberikan Ewan.

“Namun saya sedar kemampuan Ewan, seorang pelumba bagus dan mempunyai rakan sepasukan yang bagus untuk membantunya. Anuar mempamerkan peningkatan berbanding tahun lalu.

"Banyak lagi baki peringkat untuk kami bersaing. Semoga kami akan terus bersaing setiap hari untuk meraih kemenangan,” kata Guardini.

Kejayaan Guardini memenangi peringkat pertama LTdL 2015 sejauh 99.2 kilometer yang berlangsung di sekitar Pulau Langkawi semalam membolehkan pelumba berkenaan terus melebarkan rekod kepada 15 kemenangan peringkat perlumbaan sejak mula bersaing pada 2011.

Ia membolehkan Guardini muncul pendahulu keseluruhan individu (jersi kuning) dan jersi Raja Pecut (jersi biru)

“Saya berada pada tahap terbaik dan mengharapkan lebih banyak kemenangan,” katanya yang jelas tidak terjejas dengan cuaca panas mencecah 35 darjah celcius.

Penampilan pertama pasukan tersohor Great Britain, Team Sky dalam LTdL gagal mencuri tumpuan apabila tiada pelumbanya tersenarai dalam 10 pelumba terpantas semalam.

Hanya Christopher Sutton muncul pelumba terbaik Team Sky menduduki tempat ke-16.

Perlumbaan peringkat kedua LTdL akan diteruskan hari ini bermula di Alor Setar ke Sungai Petani sejauh 185 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 6:15 AM