HARRIF (kiri) bersama ibunya selepas tamat perlumbaan.
HARRIF (kiri) bersama ibunya selepas tamat perlumbaan.

Kuala Berang: Harapan Terengganu Cycling Team (TSG) melakar sejarah di tempat sendiri tidak kesampaian apabila Mohd Harrif Salleh sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam pada peringkat keempat yang berakhir di Kuala Berang semalam.

Pelumba sandaran TSG itu akur peluang menaiki podium masih belum ada walaupun sudah memberikan aksi terbaik pada perlumbaan sejauh 165.4 kilometer yang bermula dari Kota Bharu itu.

“Perlumbaan memang laju sejak dari awal hingga penamat. Berbaki satu kilometer, saya keseorangan selepas tayar basikal Anuar Manan (rakan sepasukan) pancit.

“Situasi itu menyebabkan saya terpaksa mencari laluan sendiri dan berjaya melepaskan diri namun sekadar tempat keenam,” kata pelumba kelahiran Terengganu terbabit.

Harrif turut terlepas menaiki podium pada peringkat kedua dari Alor Setar ke Sungai Petani apabila menamatkan saingan di tempat keempat.

Hari ini, saingan akan diteruskan dengan peringkat kelima membabitkan laluan terpanjang LTdL 2015 sejauh 200 kilometer dari Kuala Terengganu ke Kuantan.

Yang lebih penting, ia bakal sekali lagi memberikan peluang kepada pelumba pecut seperti Harrif dan Anuar untuk menyerlah.

Sementara itu, ibu Mohd Harrif, Esah Abdullah berharap rezeki akan memihak anaknya pada baki peringkat perlumbaan LTdL 2015.

“Saya sentiasa berdoa dan memberikan semangat kepada mereka,” katanya yang hadir menyaksikan perlumbaan semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 7:28 AM