Oleh Azlan Muhammad Zain

Tanah Merah: Dua kali bergelar naib juara, pelumba Orica GreenEdge, Caleb Ewan akhirnya mengukir nama selaku pemenang peringkat ketiga perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015, semalam.

Peringkat ketiga dari Gerik ke Tanah Merah itu perlumbaan ke-200 dalam sejarah penganjuran LTdL sejak 1996.

Namun, kemenangan itu masih tidak memuaskan hati Ewan kerana belum mampu bersaing dan mengatasi pelumba Astana, Andrea Guardini yang memenangi dua peringkat awal LTdL 2015.

“Sukar namun ganjaran yang memuaskan. Setiap hari saya berasa kayuhan semakin baik. Saya semakin yakin untuk menghadapi perlumbaan esok (hari ini) dan bersaing dengannya.

“Walaupun dia menewaskan saya dua hari berturut-turut, saya berasa keupayaan diri semakin bertambah dan berharap dapat menewaskannya esok (hari ini),” katanya selepas mengungguli peringkat ketiga sejauh 170 kilometer itu dengan catatan 4 jam 13 minit 32 saat.

Guardini jelas mempunyai strategi tersendiri apabila hanya kekal dalam kelompok besar pelumba kerana sedar dua zon pendakian sukar di Gerik dan Titiwangsa sekali gus menyaksikan dia menamatkan saingan pada kedudukan ke-87.

Kemenangan itu membolehkan Ewan merampas jersi kuning (pendahulu individu keseluruhan) dan biru (Raja Pecut) yang dikuasai Guardini dalam dua peringkat awal.

Saingan antara kedua-dua pelumba dijangka terus sengit hari ini yang menyaksikan laluan landai dari Kota Bharu ke Kuala Berang sejauh 165.4 kilometer.

“Saya melihat Guardini tidak berada pada keadaan terbaik. Kami merancang memberi tekanan pada zon pendakian kedua (Titiwangsa) dan berjaya melakukannya.

“Saya tidak pernah berada pada kedudukan seperti ini (menyarung jersi kuning dan biru) dalam perlumbaan tahap ini. Namun saya yakin dengan kemampuan rakan sepasukan mengawal perlumbaan seterusnya.

“Kami turut perlukan bantuan Astana andai mahu menamatkan saingan dengan pecutan beramai-ramai,” kata Ewan.

Saingan Raja Bukit pula menyaksikan Kiel Reijnen dari UnitedHealthCare semakin hampir mengesahkan kejuaraan selepas mengungguli dua zon pendakian semalam dan kini mengumpul 37 mata, meninggalkan Natnael Berhane dari MTN Qhubeka (18).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 7:17 AM