EWAN (tengah)
EWAN (tengah)

Sungai Petani: Walaupun dua kali berturut-turut menewaskan pesaing dari Orica GreenEdge, Caleb Ewan, peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015, hari ini bakal menjanjikan debaran buat pelumba Astana, Andrea Guardini.

Ewan dilihat semakin menemui rentak dengan pengurus pasukan Matthew Wilson percaya anak buahnya akan menumbangkan Guardini dalam masa terdekat selepas menyaksikan pelumba berkenaan melebarkan rekod 16 peringkat kemenangan LTdL dengan kemenangan di Sungai Petani semalam.

Ia kemenangan kedua berturut-turut bagi pelumba kelahiran Itali itu selepas turut mengungguli peringkat pertama di Pulau Langkawi kelmarin.

“Berbanding semalam (kelmarin), terdapat tanda lebih positif dipamerkan Ewan hari ini (semalam).

“Ketika ini Guardini mempunyai kelebihan, namun peluang Ewan akan tiba berdasarkan persembahan dipamerkannya,” kata Wilson.

Hakikat itu turut diakui Guardini dengan pelumba bakal mengharungi jarak perlumbaan lebih mencabar apabila terdapat zon pendakian lebih sukar iaitu Kategori 1 (Titiwangsa) dan Kategori 2 (Gerik) sekali gus menggambarkan kesukaran bakal dihadapi pelumba pecut sepertinya.

“Ewan seorang pelumba yang sangat kuat, mungkin perlumbaan esok (hari ini) akan menjadi miliknya. Selain itu terdapat zon pendakian.

“Saya pasti Orica GreenEdge akan membuat persediaan rapi dan bersedia menyisihkan pelumba pecut kami. Namun kita akan lihat apa akan berlaku,” kata Guardini.

Tambahnya, dia tidak gentar laluan bermula di Gerik ke Tanah Merah itu dengan menegaskan dia sukakan cabaran.

Kejayaan semalam membolehkan Guardini mengekalkan jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan individu dan jersi Raja Pecut dengan kini mengumpul 30 mata sekali gus berada dalam landasan tepat melakar sejarah meraih kejuaraan ketiga kategori itu selepas 2011 dan 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 6:59 AM