GUARDINI (tengah) meraikan kemenangannnya di garisan penamat.
GUARDINI (tengah) meraikan kemenangannnya di garisan penamat.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Berang: Persaingan semakin sengit membabitkan pelumba Astana Andrea Guardini dan Caleb Ewan daripada Orica GreenEdge selepas berakhirnya peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015, semalam.

Guardini sekali lagi membuktikan kejaguhannya apabila mengungguli peringkat keempat, kemenangan ketiganya tahun ini manakala Ewan sekadar di tempat ketiga.

Bagaimanapun, saingan dua pelumba itu dijangka terus sengit terutama dalam usaha memenangi peringkat perlumbaan dan menyarung jersi Raja Pecut.

“Atas kertas saya lebih pantas, namun ketika perlumbaan sebenar, saya perlu merealisasikan hakikat itu,” kata Guardini yang meraih kemenangan peringkat ketiga di LTdL 2015.

Jelasnya, setiap peringkat perlumbaan berbeza dan Ewan dilihat semakin kuat ketika laluan membabitkan zon pendakian kelmarin

“Saya bukan pelumba pendaki. Saya lihat dia lebih kuat di zon pendakian untuk menang perlumbaan (peringkat ketiga). Mereka juga memberikan segala-galanya di zon pendakian kedua hingga saya gagal mengejar,” katanya.

Walaupun memenangi saingan di Kuala Berang, Guardini belum mampu merampas jersi Raja Pecut dengan Ewan mengekalkan jersi kuning selaku pendahulu individu keseluruhan.

Ewan kini mengumpul 56 mata diikuti Guardini (45) dalam kategori Raja Pecut.

“Pasti sukar menewaskan Guardini esok (hari ini), namun tidak bermakna saya akan putus asa. Jika mampu mengharungi perlumbaan dengan baik dan segala-galanya berjalan mengikut perancangan, ia masih boleh dilakukan.”

Pelumba Orica GreenEdge berusia 20 tahun itu turut berpeluang mengekalkan jersi kuning dengan mengumpul 14 jam 46 minit 02 saat, kurang 17s berbanding pencabar terdekat daripada MTN Qhubeka Natnael Berhani dan Youcef Reguigui.

“Saya tidak fikir sangat mengenainya. Semalam (kelmarin) sesuatu yang jarang berlaku membabitkan zon pendakian.

“Jika hari ini (semalam) membabitkan laluan sama, saya tidak mungkin mampu melakukannya,” katanya yang memenangi peringkat ketiga kelmarin.

Peringkat ketujuh membabitkan pendakian ke Bukit Fraser dan akan memberikan impak besar kepada kedudukan keseluruhan penyarung jersi kuning, Raja Bukit, jersi terbaik Asia dan kedudukan pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 7:29 AM