POCHETTINO pertahan Alli (kiri). FOTO/AFP
POCHETTINO pertahan Alli (kiri). FOTO/AFP
AFP

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur Mauricio Pochettino mempertahankan Dele Alli selepas pemain tengah itu sekali lagi didakwa sengaja menjatuhkan badan sewaktu pasukannya menang 1-0 ke atas Crystal Palace semalam.

Alli menerima ejekan sebaik meninggalkan padang susulan kemenangan hasil tandukan Harry Kane pada minit ke-89 selepas dikatakan dengan mudah terjatuh apabila terkena Patrick van Aanholt dan Wayne Hennessey.

Pemain England itu didakwa sengaja mendapatkan penalti dalam aksi Piala FA menentang Rochdale pada minggu sebelumnya dan dua kali dilayangkan kad kerana melakukan kesalahan sama musim ini.

Namun Pochettino mempertahankan pemainnya dan mendakwa Alli menjadi sasaran mudah penyokong lawan.

“Kita perlu berhenti bercakap terlalu banyak mengenainya untuk menghalang orang ramai dan peminat mencipta reputasi seperti itu,” kata pengurus kelahiran Argentina itu.

“Dia seorang yang kompetitif dan bermain dengan baik hari ini tetapi Dele menjadi sasaran mudah.

“Dele seorang pemain istimewa. Dia akan terus bermain dan menunjukkan kualitinya. Dia tidak perlu bimbang apa yang diperkatakan orang terhadapnya.”

Pengurus Palace Roy Hodgson, memberikan Alli penampilan sulung bersama England pada 2015 turut mempertahankan pemain itu.

“Cara pertahanan kami mempertahankan situasi ini menyebabkan dia perlu menjatuhkan diri untuk menghalangnya,” kata Hodgson.

“Saya tidak fikir dia sengaja mencari penalti. Saya menasihatkan supaya tidak terlalu keras dengan Dele Alli. Saya akan mempertahankan Dele Alli dalam situasi ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 11:41 AM