RASHFORD (kiri)  dikeluarkan pada babak kedua ketika  final Piala FA Sabtu lalu.
RASHFORD (kiri) dikeluarkan pada babak kedua ketika final Piala FA Sabtu lalu.
Reuters

London: Penyerang Marcus Rashford mungkin tampil buat kali pertama bersama England menentang Australia awal pagi Sabtu ini selepas menyertai skuad Euro 2016 sekalipun pengurus Roy Hodgson berkata, pemain remaja itu tidak perlu menunggu lama untuk melakukan impak.

“Tempoh yang kami miliki bersamanya amat pendek,” kata Hodgson selepas menyenaraikan pemain Manchester United berusia 18 tahun itu dalam skuad awal 26 pemain bagi pusingan akhir di Perancis bulan depan.

Beliau perlu menggugurkan tiga pemain sebelum 31 Mei ini.

“Saya tidak ragu-ragu melakukan keputusan tepat meletakkannya dalam kelompok besar ini kerana dia mempunyai bakat besar dan anda akan ketahui daripada rekod saya sebelum ini, saya tidak takut memberikan peluang kepada pemain muda. Saya tidak menyingkirkan mereka berdasarkan faktor usia,” ujarnya.

“Tapi anda perlu sedar kami memiliki banyak saingan di posisi dia bermain dan tidak banyak peluang buatnya untuk memikat saya dan staf kejurulatihan kerana tempoh yang terlalu singkat.”

Harry Kane dan Jamie Vardy bermain di serangan ketika menang 2-1 ke atas Turki Ahad lalu di Stadium Etihad, manakala penyerang merangkap kapten Wayne Rooney dan Daniel Sturridge turut menyertai skuad selepas bermain dengan kelab.

Rashford terpaksa dikeluarkan pada babak kedua ketika kejayaan final Piala FA 2-1 ke atas Crystal Palace di Wembley Sabtu lalu dengan apa yang dilihat sebagai kecederaan lutut tetapi dia masih mengintai peluang beraksi pada perlawanan persahabatan menentang Australia di Stadium of Light, Sunderland.

“Saya fikir persembahannya pada final Piala FA amat bagus. Kami perlu tunggu dan lihat sama ada kelibatnya boleh disaksikan secara kerap pada musim panas ini,” jelas Hodgson.

Rashford, yang menjaringkan lapan gol dalam 18 perlawanan buat United sejak penampilan sulungnya pada aksi Liga Europa menentang FC Midtjylland Februari lalu, melapor diri kelmarin bersama rakan sepasukan United Rooney dan Chris Smalling.
- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 8:19 AM