Redzuan Muharam


KENDERAAN dinaiki empat sukarelawan Kelab 4x4 D'Harung terbabas ke dalam parit ketika menjalankan misi mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Revolusi Hijau, Dengkil, hari ini.

Presiden Kelab 4x4 D'Harung, Azli Jalaludin, 51, berkata, kejadian berlaku 8.30 pagi ketika dia dan tiga sukarelawan lain hampir selesai menyampaikan bantuan kepada mangsa.

Menurutnya, tiada kecederaan dialami dan mereka berempat dibantu penduduk kampung keluar dari Toyota Landcruiser Mark II itu.

Azli berkata, dia memandu kenderaan untuk masuk ke dalam kawasan kampung ketika itu.

"Saya bersama tiga sukarelawan ke kampung berkenaan untuk menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk yang masih terkandas.

"Selain makanan, kami turut membawa bersama sampan bagi memudahkan mereka keluar masuk daripada kawasan kampung.

PENDUDUK kampung membantu mengikat kenderaan daripada tenggelam. FOTO ihsan Azli Jalaludin dan Azwan Muhamad
PENDUDUK kampung membantu mengikat kenderaan daripada tenggelam. FOTO ihsan Azli Jalaludin dan Azwan Muhamad

"Namun, nasib tidak menyebelahi kami apabila kenderaan dinaiki terbabas ke dalam parit hingga tidak dapat meneruskan perjalanan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, dia bersyukur kerana kejadian itu disedari penduduk kampung yang kemudiannya datang menyelamatkan mereka.

"Saya tidak panik kerana bukan pertama kali berdepan pengalaman seperti itu tetapi tiga sukarelawan lain kelihatan agak cemas.

"Mujurlah penduduk kampung datang membantu mengikat kenderaan manakala saya cuba bertahan dengan menekan brek supaya kenderaan tidak terhumban lagi ke dalam.

"Alhamdulillah, kami berempat dapat keluar daripada kenderaan dan saya anggap apa yang berlaku sebagai satu ujian serta cabaran," katanya yang aktif menyertai misi bantuan banjir sejak 2014.

Sukarelawan, Azwan Muhamad, 41 mengakui cemas kerana tidak pernah berdepan dengan situasi seperti itu.

"Memang cemas kerana kenderaan dinaiki kami dengan tiba-tiba terbabas ke dalam parit yang besar dan dalam.

"Namun, kecekapan presiden (Azli) dan bantuan segera daripada penduduk kampung menyelamatkan kami sebelum dibawa keluar menaiki bot.

"Ia satu pengalaman baru buat saya tetapi tidak akan mematahkan semangat untuk menyertai misi serupa selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 4:26 PM
AZLI mengawal kenderaan daripada tenggelam. FOTO ihsan Azli Jalaludin dan Azwan Muhamad
AZLI mengawal kenderaan daripada tenggelam. FOTO ihsan Azli Jalaludin dan Azwan Muhamad