GAMBAR yang seakan-akan hidup cukup mempesona.
GAMBAR yang seakan-akan hidup cukup mempesona.
Oleh Erdie Wahid


Seperti berada di ruang angkasa. Itu yang penulis alami sepanjang berada di ‘dunia ilusi’ ketika berkunjung ke galeri Grand Illusions pertama di bandaraya Kota Kinabalu.

Galeri yang baru dibuka dua bulan lalu amat sesuai untuk kanak-kanak bagi merasai sendiri dunia sains.

Sejak dibuka, galeri dikunjungi lebih 4,000 pelancong dalam dan luar negara.

Sebaik melangkah masuk, penulis dan jurugambar yang ditemani kakitangan Grand Illusions hampir ‘tersesat’ dengan keunikan ruang dalaman galeri yang begitu cantik persis di angkasa.

Galeri yang menempatkan 12 seksyen dalaman itu turut mempamerkan lukisan ilusi 3 dimensi (3D), Jambatan Canyon dan Shrinking Room.

Pengarah Grand Illusions, Lena Omye berkata, penubuhan galeri itu tercetus selepas melawat sebuah galeri di New Zealand ketika menetap di negara itu bersama keluarganya beberapa tahun lalu.

“Ketika di New Zealand, kami amat menggemari galeri seumpama ini dan ia memberi inspirasi menubuhkan kemudahan sama di Kota Kinabalu.

“Galeri ini mengambil masa 10 bulan untuk disiap­kan selepas kami menyedari belum terdapat galeri seumpama di bandaraya ini,” katanya.

Katanya, penubuhan galeri ini turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai galeri Grand Ilusi Optikal pertama di Malaysia.

Lena berkata, respon orang ramai amat membanggakan dan mereka berpuas hati dengan konsep yang disediakan.

Sementara itu, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Abidin Madingkir bangga dengan penubuhan pusat ilusi optikal pertama di Malaysia itu.

Katanya, kekurangan pusat hiburan keluarga di bandaraya itu membolehkan galeri itu menjadi pilihan pengunjung.

“Saya berbangga apabila mengetahui pusat ilusi optikal pertama di Malaysia ditubuhkan di Kota Kinabalu,” katanya.

Perjalanan ‘merentasi’ dunia ilusi di galeri yang mengambil masa hampir 45 minit hingga 1 jam itu memberi banyak kepuasan buat penulis dan jurugambar.

Layari www.grand-illusions-kotakinabalu.com untuk maklumat lanjut

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 12:06 PM