PENGHUNI penjara membuat biskut raya di Penjara Wanita Kota Kinabalu di Kepayan. FOTO Malai Rosmah Tuah
PENGHUNI penjara membuat biskut raya di Penjara Wanita Kota Kinabalu di Kepayan. FOTO Malai Rosmah Tuah
Suzianah Jiffar


PENJARA Wanita Kota Kinabalu mensasarkan lebih 2,500 balang biskut raya dijual pada tahun ini, sama ada melalui tempahan dan juga pembelian terus ke Galeri Penjara Wanita Kota Kinabalu.

Pengarah Penjara Wanita Kota Kinabalu, Norneelah Shukor berkata, sasaran ini meningkat berbanding lebih 1,500 balang biskut raya yang dijual pada tahun lalu.

“Pada tahun ini sebanyak lapan jenis biskut raya dijual di Galeri Penjara Wanita dekat Kota Kinabalu, antaranya makmur, ulat bulu, tart nanas dan tart blueberry.

“Oleh kerana kita mensasarkan jualan lebih 2,500 balang biskut raya pada tahun , jadi kita mengambil pendekatan lain iaitu bukan saja menerima tempahan tetapi juga orang ramai boleh membeli terus ke galeri.

“Galeri ini dibuka setiap Isnin hingga Ahad, bermula 8 pagi hingga 5 petang (Isnin hingga Jumaat), manakala pada hujung minggu hingga 4 petang,” katanya ketika ditemui, di sini.

Dalam pada itu, Norneelah berkata, tempahan lazimnya banyak diterima daripada jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini.

“Kita banyak mempromosikan produk dari penjara ke jabatan kerajaan dan agensi luar sebab itu tempahan banyak diterima daripada mereka.

“Bagaimanapun, kita juga menerima tempahan daripada orang awam yang memang tahu produk kita. Pada tahun lalu, lebih RM25,000 hasil jualan biskut yang kita peroleh dan pada tahun ini, kita mensasarkan ia meningkat lebih 10 peratus daripada tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Norneelah berkata, orang ramai tidak perlu bimbang dengan tahap kebersihan produk makanan yang dihasilkan dari Penjara Wanita Kota Kinabalu.

“Ini kerana banduan terbabit dalam pembuatan makanan termasuk kuih raya adalah yang terpilih dan sudah ditapis tahap kesihatan serta kebersihan mereka.

“Mana-mana banduan yang bekerja dalam bahagian makanan, mereka juga telah diberikan suntikan typhoid. Justeru, dalam soal kesihatan dan kebersihan makanan tidak perlu berasa bimbang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 11:41 AM