ZULFAHMI    bersama motosikalnya pada majlis pelancaran pasukan itu di SIC.
ZULFAHMI bersama motosikalnya pada majlis pelancaran pasukan itu di SIC.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Sepang: Tiada lagi ‘talian hayat’ untuk pelumba negara Zulfahmi Khairuddin jika gagal bersinar pada tahun keenam dalam saingan Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia.

Berbekal pakej terbaik disediakan pasukan baru, Drive M7 SIC Racing Team, Zulfahmi tiada pilihan selain perlu mencatatkan keputusan terbaik atau bakal disingkirkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali berkata, meskipun tindakan itu dilihat agak kejam, beliau menegaskan, tindakan sebegitu sebenarnya biasa dalam dunia permotoran.

“Mungkin pencapaiannya dinilai semula pada pertengahan tahun sebab kami sudah memenuhi semua tuntutannya. Jika dia gagal beraksi baik, ini mungkin tahun terakhir untuknya.

“Kita terlalu memanjakan budak-budak kita. Kalau kita tengok pasukan lain, pada pertengahan musimpun ada pelumba yang disingkirkan.

“Tapi dalam kes Zulfahmi, kita biayai pelumba kita. Sudah tentulah kami mahukan keputusan terbaik.

“Kalau dia tidak dapat buat yang terbaik, baik kita beri peluang kepada pelumba lain.

“Sebab kalau kita beri Zulfahmi peluang beraksi dalam Moto3 lagi tahun depan, bermakna sudah tujuh tahun dia berlumba kategori itu. Ini terlampau lama,” katanya selepas majlis pelancaran pasukan Drive M7 Racing Team semalam.

Bagaimanapun jelas Razlan, jika Zulfahmi mempamerkan aksi memberangsangkan, pihaknya sendiri akan berusaha membawanya ke Moto2.

“Memang kita bermula dengan Moto3, tapi kalau dia boleh berkembang ke Moto2 sebenarnya lagi bagus kerana itu perancangan jangka panjang kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 9:31 AM