Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Esok akan menjadi penentu nasib Zulfahmi Khairuddin sama ada kariernya selaku pelumba Moto3 negara yang beraksi di Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) dapat diteruskan atau sebaliknya.

 Ini kerana, satu mesyuarat khas akan diadakan bagi menentukan hala tuju pelumba berusia 24 tahun itu, membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, Pengurus Pasukan SIC Racing Team Johan Stigefelt serta Zulfahmi sendiri.

“Setakat ini saya belum buat sebarang keputusan. Saya akan berbincang dengannya dulu hari ini (semalam) sebelum perbincangan rasmi Jumaat ini (esok).

“Saya sendiri akan panggil pengurus pasukan untuk berbincang sekali mengenai Zulfahmi. Lebih baik semua ada kerana saya tidak mahu mendengar daripada satu pihak saja,” kata Razlan.

Bagaimanapun Razlan seolah-olah memberi bayangan masa depan pelumba kelahiran Banting, Selangor itu mungkin berakhir apabila menyatakan sudah mempunyai pilihan pelumba lain dari Sepanyol sekiranya Zulfahmi digugurkan.

“Untuk makluman anda, ada seorang pelumba yang bagus baru saja digugurkan pasukannya. Itu antara pilihan sekiranya kami tidak berpuas hati dengan prestasi Zulfahmi,” katanya.

Razlan tidak memberikan maklumat secara terperinci mengenai pelumba berkenaan, tetapi ketika ini, pelumba itu berada pada kedudukan 15 terbaik dalam kalangan kelas Moto3.

Mengulas mengenai kritikan terhadapnya kerana dianggap sudah melupakan jasa Zulfahmi selama ini dengan berkira-kira untuk menggugurkan pelumba negara itu, Razlan menafikannya.

“Kita tidak pernah lupa jasa Zulfahmi terutama pada musim 2012. Tapi kami sudah melabur begitu banyak untuknya sejak tiga tahun kebelakangan ini.

“Kalau Zulfahmi tidak menunjukkan prestasi baik, kami tidak boleh sewenang-wenangnya terus melabur untuknya.

“Saya harap peminat tidak terlalu emosional kerana kami tidak mahu memilih Zulfahmi disebabkan dia popular, sebaliknya kami nak dia menunjukkan prestasi cemerlang di atas litar,” katanya.

Masa depan Zulfahmi mula mencetuskan persoalan selepas Razlan sendiri menegaskan penilaian menyeluruh akan dilakukan ke atas pelumba negara itu selepas saingan di Grand Prix Sachsenring, Jerman pada 12 Julai lalu.

Selepas sembilan pusingan, Zulfahmi yang sudah diberikan amaran awal untuk menyerlah musim ini, sekadar memungut dua mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 10:47 AM