ZULFAHMI (tengah) berbincang bersama krew pasukannya.
ZULFAHMI (tengah) berbincang bersama krew pasukannya.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Zulfahmi Khairuddin mengakui masih mempunyai keinginan tinggi untuk berlumba meskipun hasratnya itu dilihat semakin tipis kerana kemungkinan besar tidak akan lagi beraksi dalam Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan.

Jelas pelumba Moto3 negara itu yang bakal beraksi buat kali terakhir di GP Valencia dua minggu lagi, dengan usia baru saja mencecah 24 tahun, dia yakin masih mampu lagi mempamerkan aksi terbaik di litar.

“Kemungkinan besar saya tidak lagi berlumba dalam MotoGP. Mungkin juga saya berhenti berlumba. Buat masa ini, itulah saja yang saya boleh cakap.

“Secara peribadi, saya masih lagi mahu berlumba sebab baru saja berusia 24 tahun dan ada banyak masa lagi untuk berlumba.

“Apapun terima kasih kepada peminat yang menyokong saya sepanjang beraksi enam musim penuh Kejohanan Dunia,” katanya.

Mengenai cadangan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali yang mahu Zulfahmi menjadi jurulatih kepada barisan pelumba negara di saingan Asia Talent Cup (ATC), pelumba yang beraksi bersama pasukan SIC Racing Team itu sedia menerima tawaran berkenaan.

“Saya tidak keberatan menjadi jurulatih kepada barisan pelumba muda. Kebelakangan ini, saya sudah membantu mereka,” katanya.

Arena Metro semalam melaporkan Razlan sudah mengesahkan pelumba muda negara Adam Norrodin menggantikan tempat Zulfahmi dalam pasukan SIC Racing Team musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 10:00 AM