Kuala Lumpur: Pelumba negara Zulfahmi Khairuddin (gambar) sedia menyahut cabaran Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali untuk kembali menyinar pada Kejuaraan Motosikal Dunia musim ini atau disingkirkan.

Pelumba kelahiran Banting, Selangor itu yang bakal kembali menunggang jentera KTM bersama pasukan Drive M7 SIC Racing Team itu berkata, dia sememangnya sedia maklum perkara itu kerana sudah menjadi kebiasaan berdepan keputusan sedemikian dalam sukan permotoran.

“Sebenarnya saya anggap setiap tahun aksi terakhir saya sebab kontrak dalam sukan permotoran bukan seperti sukan lain. Kontrak kami hanya akan disambung setiap tahun berdasarkan prestasi semasa.

“Saya harap dapat meraih keputusan terbaik bagi meneruskan karier.

“Seperti pernah dikatakan sebelum ini, saya mahu kembali ke podium dan berlumba bersama kelompok depan.

“Yang penting saya perlu bertenang dan bekerja keras. Kami mempunyai pakej baik tahun ini,” katanya.

Mengulas kemungkinan kedudukannya dikaji pada pertengahan musim seperti ditegaskan Razlan, Zulfahmi berkata, segala-galanya terpulang kepada pengurusan pasukan serta penaja.

“Itu semua terpulang kepada pihak penaja. Saya cuma berharap dapat kekal bersama hingga ke hujung musim,” katanya.

Razlan menerusi laporan Arena Metro semalam menegaskan, 2015 mungkin tahun terakhir Zulfahmi beraksi dalam Moto3 jika gagal mempamerkan aksi cemerlang dan konsisten.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 8:51 AM