Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Grand Prix Sachsenring di Jerman bermula 10 hingga 12 Julai ini bakal menjadi detik penting kepada karier pelumba Moto3 negara Zulfahmi Khairuddin (gambar).

Ini kerana, pencapaiannya di pusingan itu bakal menentukan masa depan pelumba berusia 23 tahun itu selepas mengharungi separuh musim Kejuaraan Motosikal Dunia dengan prestasi hambar.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali berkata, penilaian secara menyeluruh akan dilakukan ke atas pelumba Drive M7 SIC Racing Team itu sebaik tamat saingan di Sachsenring.

“Saya pernah bercakap pada awal tahun bahawa kami akan menilai prestasi Zulfahmi di pertengahan tahun.

“Jadi kita akan membuat penilaian prestasinya selepas perlumbaan di Jerman.

“Saya pasti semua orang tahu apabila melihat prestasi semasa Zulfahmi, sememangnya ia tidak memberangsangkan.

“Tapi kami akan beri peluang kepada dia untuk memberikan penjelasan,” katanya.

Jelas Razlan, Zulfahmi seorang pelumba berpengalaman dan sudah enam tahun beraksi di Moto3, tetapi keputusan diraihnya pada musim ini agak mengecewakan.

“Jadi lebih baik sekiranya saya meletakkan seorang pelumba Malaysia yang masih muda untuk dia mencari pengalaman bagi musim akan datang,” katanya.

Sekiranya kontrak Zulfahmi ditamatkan, peminat di GP Malaysia pada 25 Oktober ini mungkin tidak dapat menyaksikan kelibat pelumba kelahiran Banting, Selangor itu lagi.

“Kita perlu ingat masih ada Hafizh (Syahrin Abdullah), Azlan (Shah Kamaruzaman) dan juga kemungkinan penunggang wildcard. Tapi apapun, kami perlu buat keputusan dulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 8:36 AM