PENGERUSI Litar Sepang Tan Sri Mokhzani Mahathir (dua dari kanan) bersama Zulfahmi (kanan) pada majlis pengumuman pasukan, semalam.
PENGERUSI Litar Sepang Tan Sri Mokhzani Mahathir (dua dari kanan) bersama Zulfahmi (kanan) pada majlis pengumuman pasukan, semalam.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Sepang: Teka-teki berhubung masa depan pelumba Moto3 negara Zulfahmi Khairuddin akhirnya terjawab apabila disahkan akan beralih ke pasukan baru musim depan.

Menariknya pasukan baru itu milik sepenuhnya Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan nama rasminya SIC Racing Team yang akan bersaing dalam kelas Moto3.

Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali berkata, Zulfahmi yang dilihat bergelut bersama pasukan Ongetta-AirAsia musim ini, tidak boleh memberikan sebarang alasan gagal beraksi dengan baik tahun depan kerana SIC Racing Team sebuah pasukan yang akan memberikan yang terbaik untuknya.

Pasukan itu sudah secara rasmi mendapat lampu hijau untuk bersaing pada musim depan dengan menggunakan jentera pengeluar KTM.

SIC Racing Team juga akan menggunakan tenaga kakitangan pasukan Caterham yang beraksi pada saingan Moto2 musim ini, tetapi tidak beraksi lagi musim depan.

"Selepas melabur kira-kira RM10 hingga RM12 juta membangunkan pelumba Malaysia sejak 2009, sudah tiba masanya kami melangkah setapak lagi dengan memiliki sebuah pasukan dan kru sendiri.

"Menerusi SIC Racing Team, kami mempunyai hak sepenuhnya ke atas pasukan ini," katanya selepas melancarkan pasukan itu semalam.

Jelas Razlan, pihaknya sentiasa berusaha membantu Zulfahmi dan kali ini, beliau berharap pelaburan SIC membuahkan hasil.

"Kadang-kala Zulfahmi beritahu dia ada masalah dengan pasukan, tapi kemudian pasukannya pula berkata, pelumba itu sebenarnya yang mempunyai masalah.

"Tapi kini dengan pasukan sendiri serta sokongan orang sekelilingnya, kita akan dapat mengetahui sama dia atau jentera yang bermasalah. Dia kena buktikan," katanya.

Razlan berkata, satu lagi slot untuk pasukan SIC Racing Team akan diputuskan dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:02 AM