SUKARELAWAN BAT bergambar kenangan sebelum mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di sekitar Hulu Langat. FOTO ihsan BAT
SUKARELAWAN BAT bergambar kenangan sebelum mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di sekitar Hulu Langat. FOTO ihsan BAT
Redzuan Muharam


Hulu Langat: "Saya faham sangat perasaan mereka kerana pernah lalui nasib sama jadi mangsa banjir, tujuh tahun lalu," kata kontraktor, Boon Keong.

Boon, 50, antara sukarelawan daripada Persatuan Barracuda Adventure Team (BAT) yang menempuh perjalanan hampir 400 kilometer (km) dari Kuala Krai, Kelantan untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk terkesan akibat banjir di Selangor.

Menurutnya, dia bersama rakan sukarelawan BAT bertolak dari Kuala Krai pada 5 petang semalam dengan berkonvoi menaiki kereta pacuan empat roda.

Katanya, mereka tiba di tempat pengumpulan barangan dekat Sekolah Kebangsaan (SK) Dusun Tua, di sini, awal pagi hari ini.

"Pada 2014, rumah saya rosak teruk akibat banjir dan ketika itu, banyak bantuan diterima daripada rakyat Malaysia termasuk warga Selangor.

"Sedih rasanya selepas membaca berita mengenai kejadian banjir tempoh hari, dan kini, tiba masanya untuk saya membalas budi dengan datang ke sini serta agihkan bantuan buat mereka.

"Niat saya ke sini memang untuk sampaikan bantuan saja, jadi tidak bertanya mangsa apa berlaku sewaktu kejadian kerana bimbang ia akan mengganggu emosi mereka yang masih bersedih," katanya ketika ditemui di SK Dusun Tua, di sini, hari ini.

Urusan agihan bantuan berjalan lancar dengan bantuan guru SK Dusun Tua dan Presiden Kelab 4X4 Raja Rimba Adventure, Sham Mat Shah sebagai pengemudi serta penunjuk arah.

Sham berbesar hati kerana diberi tanggungjawab dan kepercayaan membantu pasukan sukarelawan BAT dalam melancarkan misi berkenaan.

"Misi hari ini membabitkan pengagihan barangan keperluan ke kawasan di Hulu Langat yang terjejas.

"Ia mendapat bantuan penduduk kampung dan kebanyakan bantuan adalah daripada rakyat Kelantan sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 9:28 PM