PETUGAS menyediakan bantuan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
PETUGAS menyediakan bantuan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Memanfaatkan pacuan empat roda dan sukarelawan tempatan untuk menyerahkan bantuan barangan keperluan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir sekitar Meranti, Pasir Mas, Kelantan, semalam.

Itu inisiatif Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) dalam membantu mangsa berikutan sebahagian besar rumah penduduk di kawasan itu masih digenangi air sejak beberapa hari lalu.

Aktivis PPMM Mohd Afiq Salim berkata, dia bersama beberapa sukarelawan mengaktifkan bantuan segera itu bagi memastikan mangsa banjir tidak keputusan bekalan makanan.

Katanya, jalan raya yang dipenuhi air menyukarkan misi penghantaran bantuan masuk ke beberapa lokasi antaranya Kampung Tok Sakut, Kampung Bongor, Kampung Tasek Berangan dan Kampung Jejawi serta beberapa lokasi lain sekitar Pasir Mas.

"Kita terpanggil untuk bersama sukarelawan tempatan menghulurkan bantuan ini kerana ramai mangsa yang terjejas.

"Menggunakan pacuan empat roda, ia memudahkan sukarelawan masuk ke kawasan yang dinaiki air untuk menyampaikan bantuan berupa bekalan asas," katanya kepada Harian Metro.

Pada misi berkenaan, beliau turut dibantu aktivis tempatan, Muhammad Yusuf yang menggerakkan sukarelawan tempatan untuk mengenal pasti lokasi mereka yang terjejas.

Menurutnya, hasil pemerhatian mendapati, wujud keperluan untuk menyediakan kit ujian kendiri Covid-19 kepada mangsa banjir sebagai persediaan dan ia akan dilakukan pada masa akan datang.

"Ini mengambil kira kapasiti hospital di Kelantan antara yang tertinggi untuk pesakit Covid-19 ketika ini, maka kami juga mempertimbangkan untuk menyediakan kit ujian kendiri untuk memudahkan mangsa banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 4:04 PM