Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Skuad negara memulakan cabaran Kejohanan Bola Sepak Pantai AFF bertemu Myanmar di pantai Teluk Cempedak, petang ini, hanya meletakkan sasaran ke separuh akhir.

Berada dalam kumpulan B bersama Laos, Myanmar dan Filipina, cabaran skuad bimbingan Wan Adremy Indera Wan Adnan dilihat lebih selesa berbanding satu lagi wakil negara iaitu FELDA yang diundi bersama Thailand, Vietnam dan Indonesia dalam kumpulan A.

Wan Adremy berkata, gandingan pemain muda dan tiga muka lama menjadi taruhan skuad negara pada kejohanan kali ini yang diharap mampu melakar kejayaan bermakna selepas mengadakan persiapan selama sebulan.

Katanya, tumpuan utama adalah muncul juara kumpulan sebelum menanti lawan kumpulan A, Thailand dan Indonesia yang berpengalaman luas di peringkat antarabangsa.

“Walaupun hanya meletakkan sasaran separuh akhir, saya tetap menaruh harapan kepada pemain supaya berusaha ke final.

“Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dengan sokongan peminat tempatan diharap menjadi penyuntik semangat pemain membuktikan kelebihan walaupun kebanyakannya cetek pengalaman di pentas antarabangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 2:00 AM