PEMAIN negara menjulang trofi kejohanan selepas membenam Vietnam pada final.
PEMAIN negara menjulang trofi kejohanan selepas membenam Vietnam pada final.
Oleh Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Malaysia muncul juara Kejohanan Bola Sepak Pantai AFF selepas menewaskan Vietnam 6-4 pada perlawanan akhir di pantai Teluk Cempedak, semalam.

Selepas beraksi cemerlang menewaskan Thailand 3-2 di separuh akhir kelmarin, episod cemerlang terus dilakar skuad bimbingan Wan Adremy Indera Wan Adnan.

Wan Adremy Indera berkata, persembahan bersemangat pemain yang mendapat sokongan peminat tempatan menjadi kelebihan kepada pasukan negara.

Katanya, tentangan sengit lawan tidak menjejaskan tumpuan pemain yang begitu yakin mereka mampu menjinakkan Vietnam walaupun lawan memberikan cabaran sengit.

“Walaupun tidak pernah membayangkan dinobatkan juara saya tetap yakin kejayaan mampu berpihak kepada pasukan negara selepas menewaskan Thailand di separuh akhir,” katanya.

Sementara itu jurulatih Vietnam Dang Quoc Hung berkata, corak permainan bertahan dan gagal menyudahkan peluang terhidang menyebabkan pasukannya terpaksa akur dengan kekalahan.

“Saya memuji semangat dan kesungguhan dipamerkan pemain Malaysia, mereka layak menang dan tidak mustahil muncul antara pasukan terbaik ASEAN satu hari nanti," katanya.

Tempat ketiga milik Thailand yang menewaskan Laos 4-1.

Hadiah disampaikan Setiausaha Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) Datuk Azzuddin Ahmad. Turut hadir Pengarah Sukan FELDA Datuk Ahmad Fuad Daud.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:05 AM