Baru-baru ini Sha dapat tahu yang Ekin AF3 hamil. Apa lagi cepat-cepatlah Sha menghubungi Ekin bagi mendapatkan pengesahan. Dengan nada gembira, bakal ibu itu memaklumkan kandungannya berusia dua bulan.

Katanya, sebelum mengetahui perkara itu (hamil), dia mengalami gatal-gatal yang teruk di kaki, malah setiap hari mahu makan makanan Kenny Rogers.

Pelik juga kerana perkara itu tidak pernah berlaku sebelum ini dan segala tanda tanya terungkai apabila dia disahkan hamil. Berita itu disambut gembira suami tercinta, Yazer yang juga peserta AF3.

Seperti kebanyakan wanita hamil lain, Ekin juga berdepan alahan teruk, terutama pada awal pagi, dan hilang selera makan. Seawal jam empat pagi sudah rasa lapar tetapi apabila makan, hanya sikit yang boleh ditelan.

Badan pun terasa lemah tidak bermaya tetapi selepas dibekalkan ubat oleh doktor, kesihatannya kembali pulih, malah sudah berselera makan.

"Setakat ini apa yang saya idam Yazer berjaya dapatkan, termasuk siput kelesiu atau siput tarik dan rumpai laut. Kalau ikutkan, benda itu tidak ada di Labuan dan hanya boleh didapati di Kota Kinabalu, tetapi ketika kami pulang ke kampung ada orang datang jual dari rumah ke rumah. Jadi dapatlah saya makan.

"Makanan lain, biasa-biasa saja dan mudah diperoleh. Saya pun tak mahu terlalu ikutkan sangat rasa teringin, nanti menyusahkan suami pula," katanya.

Sha difahamkan, Ekin berharap dikurniakan cahaya mata perempuan manakala Yazer mahu anak lelaki tetapi apa pun jantina bayi itu, mereka terima seadanya kerana yang lebih penting sihat dan sempurna sifatnya.

Tahniah Sha dan warga kerja SELEBRITI ucapkan kepada pasangan ini yang diijabkabulkan pada 26 Disember 2014. Moga Ekin dan bayi dalam kandungan sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 5:04 AM