Oleh Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah

Singapura: Khabar angin tersebar yang menyatakan bahawa bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew meninggal dunia adalah tidak benar, kata Menteri Tenaga Manusia Tan Chuan-Jin di laman Facebooknya, hari ini.

"Khabar angin tersebar dengan meluas. Ramai dalam kalangan anda menghantar mesej bertanyakan mengenai keadaan Encik Lee Kuan Yew. Terus berdoa untuk beliau kembali pulih," katanya.

Saluran televisyen tempatan, Channel NewsAsia sebelum ini melaporkan bahawa stesen televisyen berkenaan mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa bahawa khabar angin itu adalah tidak benar.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, pejabat Perdana Menteri Pejabat (PMO) berkata, Lee dimasukkan ke Hospital Besar Singapura pada 5 Februari lalu kerana menghidap radang paru-paru yang teruk.

Menurut kenyataan itu, keadaan beliau kembali stabil namun masih berada dalam ventilasi mekanikal di Unit Rawatan Rapi (ICU). Beliau sedar dan diberikan sedatif ringan.

Lee, 91, adalah Perdana Menteri pertama Singapura (1959-1990) dan dianggap perdana menteri yang paling lama berkhidmat di dunia. BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 11:44 PM