Manila: Panglima Tentera Filipina, Jen Gregorio Pio Catapang Jr mengarahkan pasukan keselamatan melancarkan “serangan besar-besaran’ ke atas Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF), lapor media semalam.

Arahan itu dikeluarkan sempena ulang tahun ke-29 kebangkitan Kuasa Rakyat yang membawa kepada kejatuhan rejim Ferdinand Marcos pada 1986.

Perintah itu juga dibuat ketika pertempuran antara BIFF dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MIFL) berlanjutan di Maguindanao dan Cotabato Utara.

Krisis itu memaksa sehingga 20,000 orang penduduk setempat meninggalkan rumah masing-masing untuk menyelamatkan diri.

BIFF adalah kumpulan serpihan MILF dan didakwa mendalangi serangan ke atas komando polis yang menyebabkan 44 anggota keselamatan itu maut pada 25 Januari lalu.

Catapang Jr berkata, tentera akan cuba sebaik mungkin melindungi orang awam dan mencari jalan membolehkan mereka kembali ke rumah masing-masing.

“Pada masa sama, tentera mestilah menyelaraskan tindakan dan mempertahankan mekanisme gencatan senjata dengan MILF,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 9:28 AM