KEADAAN lori yang terbalik. FOTO ihsan bomba
KEADAAN lori yang terbalik. FOTO ihsan bomba
Oleh Mohd Amin Jalil

Nilai: Seorang pemandu lori dan kelindannya cedera selepas lori dinaiki mereka terbalik selepas tayar belakangnya pecah di Kilometer 278.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 9.45 pagi itu, Mohd Yusri Madzlan, 32, dari Segamat, Johor dan Zainudin Yaacob, 42, dari Besut, Terengganu, mengalami kecederaan di bahagian tangan.

Pegawai Operasi Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Sharim Simin berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan pada 9.46 pagi pihaknya bergegas ke lokasi kejadian bersama lima anggota dan satu jentera.

Katanya, siasatan awal kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tiga tan membawa muatan susu dan air dari Kuala Lumpur itu dipercayai hilang kawalan selepas tayar sebelah kanan bahagian belakang pecah, lalu memasuki laluan kanan dan terbalik.

"Akibatnya barangan yang dibawa lori berselerak di atas jalan raya manakala mangsa yang tersepit di tempat duduk masing-masing dikeluarkan orang awam dan dibawa oleh ambulans ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban," katanya.

Sharim berkata, kemalangan itu tidak membabitkan kenderaan lain yang melalui laluan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 3:24 PM