GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Omar Ahmad.


Johor Bahru: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) membenarkan majlis akad nikah diadakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 fasa pertama bermula Sabtu ini.

Pengarahnya, Datuk Md. Rofiki Shamsuddin berkata, majlis akad nikah yang dibenarkan ini terhad kepada pasangan pengantin yang memperolehi surat kebenaran berkahwin dari 1 hingga 28 Jun 2021.

Katanya, majlis harus mematuhi sepenuhnya garis panduan majlis akad nikah dalam tempoh PKP 3.0 Fasa pertama dan Pasca PKP 3.0 Fasa pertama.

"Majlis akad nikah digalakkan untuk ditangguhkan atau boleh dilaksanakan di pejabat JAINJ atau Pejabat Kadi Daerah sahaja. Majlis perlu dilangsungkan secara ringkas dengan maksimum masa 20 minit sahaja.

"Antaranya pasangan pengantin dan wali berada dalam daerah sama dan pasangan pengantin yang berada dalam daerah yang sama tetapi wali berada di luar daerah atau negeri dengan menggunakan kaedah mewakilkan wali kepada jurunikah atau wakalah wali.

"Turut dibenarkan adalah pengantin sama ada salah seorang atau kedua-duanya berada di luar daerah dalam negeri ini dari tempat majlis akad nikah dengan syarat telah mendapat kebenaran rentas daerah dari pihak keselamatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rofiki, pasangan pengantin dan wali yang berada di negeri berbeza turut dibenarkan dengan syarat mendapat kebenaran rentas negeri dari pihak keselamatan.

Katanya mereka juga perlu membuat pemeriksaan saringan Covid-19 di hospital kerajaan atau swasta iaitu 72 jam sebelum tarikh majlis akad nikah.

"Kehadiran majlis akad nikah yang dilaksanakan di Pejabat JAINJ atau Pejabat Kadi Daerah adalah tidak melebihi enam orang meliputi tiga dari pengantin lelaki dan wanita serta wali dan tiga dari pihak urusetia.

"Bagi pengantin lelaki yang gagal mendapatkan kebenaran rentas daerah atau negeri, digalakkan untuk menangguhkan pernikahan ke hari yang lain.

"Pernikahan juga boleh dilakukan secara wakalah iaitu mewakilkan pengantin lelaki kepada pihak lain menurut hukum syarak. Proses wakalah ini perlu melalui Pejabat Kadi Daerah.

"Bagi wali yang berada di luar negeri Johor atau berada di zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau ada halangan syarie yang menyebabkannya tidak boleh hadir, digalakkan membuat wakalah wali kepada jurunikah melalui borang wakalah wali yang disediakan di sistem SPPIM (Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 6:58 PM