RHAINNA Natasha bersama Abdul Aziz. FOTO ihsan Rhainna Natasha
RHAINNA Natasha bersama Abdul Aziz. FOTO ihsan Rhainna Natasha
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: "Saya bangga dengan usahanya walaupun bukan sekali lafaz tetapi dia bersungguh-sungguh ingin melafazkan akad nikah dalam bahasa Melayu," kata bekas pramugari yang hanya mahu dikenali sebagai Rhainna Natasha.

Pernikahan Rhainna Natasha, 25, dan Abdul Aziz Murad, 28, yang juga warga Syria baru-baru ini mendapat perhatian warganet selepas suaminya itu cuba berbahasa Melayu.

Rata-rata warganet memuji usaha Abdul Aziz yang cuba berbahasa Melayu biarpun tidak fasih terutama ketika majlis pernikahannya.

Rhainna Natasha berkata, perkongsian di TikTok itu hanya sebagai kenangan tetapi tidak sangka ia tular sehingga meraih lebih tiga juta tontonan setakat ini.

Katanya, majlis pernikahannya itu berlangsung di kampung halamannya di Bahau, Jempol, Negeri Sembilan.

"Sebelum tarikh pernikahan kami, dia (suaminya) rajin berlatih dengan ayah saya di rumah.

"Malah, sebelum akad nikah sebenar berlangsung, dia sempat berlatih melafazkan akad nikah sampai empat kali bersama tok kadi sebelum akad nikah sebenar berlangsung," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, penggunaan bahasa Melayu dipilih berbanding bahasa Arab atau bahasa Inggeris bagi memudahkan saksi memahami lafaz yang disampaikan.

Katanya, kedua-dua pihak keluarga terbuka dan menyokong hubungan mereka yang mula berkenalan sejak Februari tahun lalu.

"Uniknya mengenai perkahwinan campur ini, saya dapat mengenali budaya bangsa yang berlainan dari segi bahasa dan adat.

"Lebih seronok, apabila keluarga suami sangat mengalu-alukan kehadiran saya sebagai sebahagian daripada keluarganya.

"Saya juga baru tahu budaya Syria tiada istilah 'teman wanita' atau 'teman lelaki', jika suka terus buat kontrak pertunangan dan mungkin kerana itu hanya dalam masa lima bulan kami berkenalan, dia terus mahu jumpa ayah saya untuk bertunang," katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz yang juga pengasas syarikat teknologi maklumat (IT) Kampung Digital berkata, perkahwinannya bersama Rhainna Natasha adalah pengalaman istimewa buatnya.

"Budaya sangat penting bagi kami dan kerana itu, bagi saya mendalami budaya Melayu juga sama pentingnya.

"Biarpun kedua-dua keluarga terbatas dari segi bahasa namun kami menerima antara satu sama lain dan itulah yang membuatkan suasana lebih seronok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 10:01 PM