MOHD Yusoff Fauzi memeriksa mesin inkubator bagi membolehkan proses penetasan telur ayam dilakukan.
MOHD Yusoff Fauzi memeriksa mesin inkubator bagi membolehkan proses penetasan telur ayam dilakukan.
ANTARA vitamin yang diberi kepada ayam kampung.
ANTARA vitamin yang diberi kepada ayam kampung.
ANAK ayam yang baru menetas dikeluarkan dari mesin inkubator.
ANAK ayam yang baru menetas dikeluarkan dari mesin inkubator.
MOHD Yusoff Fauzi memeriksa anak ayam yang baru menetas.
MOHD Yusoff Fauzi memeriksa anak ayam yang baru menetas.
Teks dan gambar Abnor Hamizam Abd Manap


Penternakan ayam kampung diusahakan secara kecil-kecilan di belakang rumah keluarganya di FELCRA Ayer Hitam, Jempol sejak 2009 membuahkan hasil apabila mendapat permintaan tinggi.

Memandangkan kawasan di belakang rumah terhad untuk ternakan yang semakin membiak, Mohd Yusoff Fauzi Ahmad Labib, 34, membuka ladang ayam kampung di tanah seluas satu hektar .

Tanah milik ibunya di Kampung Dusat di Jempol diusahakan dengan modal RM10,000.

Mohd Yusoff Fauzi tidak menyangka terbabit dalam bidang penternakan kerana penjualan ayam kampung lebih mahal berbanding ayam biasa.

“Alhamdulillah, sangkaan saya meleset kerana ramai membeli ayam kampung di rumah.

“Ada juga membeli telur untuk perubatan tradisional,” katanya.

Sebaik memulakan operasi penternakan di tapak baru, dia meluaskan perniagaan.

“Bukan saja menjual dan membeli ayam kampung serta telur daripada penduduk, saya turut menjual anak ayam,” katanya ketika ditemui di Kampung Dusat, di sini, baru-baru ini.

Katanya, idea menjual anak ayam kampung timbul selepas sukar mendapatkan bekalan di pasaran.

“Saya membeli mesin inkubator untuk pe­ngeraman telur berharga RM5,000.

“Tujuannya bagi memenuhi permintaan anak ayam yang meningkat selain memastikan penetasan telur sempurna,” katanya.

Alat ini katanya, penting bagi meningkatkan jumlah kelahiran anak ayam kerana mesin itu mampu mengeram­kan 1,000 biji telur selama 21 hari.

Katanya, ayam kampung dilepaskan sekitar reban bagi mempercepatkan pembesaran.

“Ayam kampung mengambil masa enam bulan untuk matang (1.5 kilogram) dan dijual dengan harga RM16 sekilogram manakala anak ayam yang baru menetas dijual pada harga RM3.50 seekor.” katanya.

Usahanya menceburi bidang penternakan ayam kampung menerusi syarikatnya F.A.R Cekap Enterprise membuah­kan hasil apabila tersenarai dalam kelompok 23 peserta akhir pertandingan ‘Cabaran Perniagaan Luar Bandar’ anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Pusat Transformasi Luar Bandar, Gopeng, Perak baru-baru ini.

“Saya menduduki tempat ke-13 dan menerima geran RM300,000 yang akan digunakan bagi mengembangkan penternakan ayam kampung ini termasuk membeli beberapa inkubator baru.

“Hasrat saya berkongsi kejayaan ini dengan masyarakat di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui dan berharap akhir tahun ini seramai 10 usahawan ayam kampung akan dilahirkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 1:06 PM