MENGUTIP telur ayam.
MENGUTIP telur ayam.
SEBAHAGIAN daripada 600 ayam kampung asli betina dan 70 ayam jantan dalam reban gergasi.
SEBAHAGIAN daripada 600 ayam kampung asli betina dan 70 ayam jantan dalam reban gergasi.
Teks dan foto Hassan Omar


PELABURAN lebih RM130,000 dalam sektor penetasan anak ayam kampung asli sejak enam tahun lalu kini membuahkan pulangan membanggakan buat penternak muda, Mohd Farid Baharom, 30, dan rakan kongsi, Basri Abu Bakar, 55.

Berasaskan minat mendalam dalam bidang penternakan ayam kampung sejak kecil, Mohd Farid memulakan usaha menternak 70 ekor ayam kampung asli secara konvensional di belakang kediaman ibu bapanya di Kampung Bukit Katil, Melaka pada 2013.

Selepas mendirikan rumah tangga pada 2014, Mohd Farid memulakan projek penternakan 350 ekor ayam kampung asli di kawasan berhampiran kediaman ibu bapa mentuanya di Kampung Pasir Gembor, Tanjung Bidara.

Kejayaan yang ditempa dalam tempoh empat tahun selepas itu menarik minat Basri untuk menyuntik dana bagi mengembangkan penternakan berkenaan. Sekali gus menjadi landasan untuk Basri terbabit dalam sektor penternakan ayam kampung asli secara komersial selepas bersara.

Dengan tekad untuk mencapai kejayaan dalam sektor penghasilan anak ayam kampung asli, mereka menubuhkan syarikat Rezeki Toyyiba Enterperise bagi memulakan projek Pusat Penetasan Ayam Kampung Asli pada 2018.

Usahawan terbabit melabur kira-kira RM100,000 untuk membina empat reban yang setiap satu berukuran 6 x 15 meter di kawasan seluas 0.4 hektar di belakang kediaman mentua Mohd Farid.

Mereka turut melabur bagi mendapatkan lima unit mesin pengeraman telur ayam yang setiap seunit bernilai RM3,500 dan seunit mesin penetasan anak ayam yang juga bernilai RM3,500.

MAKANAN berkualiti diberikan.
MAKANAN berkualiti diberikan.

Berkat kesabaran Mohd Farid menghadiri pelbagai kursus berkaitan penternakan ayam kampung dan anak ayam kampung, dia bersama Basri memulakan projek berkenaan dengan menternak 900 ekor ayam kampung pada 2018 selain kini berbangga dengan 600 ekor ayam betina serta 70 ekor jantan.

Dengan menempatkan ayam kampung betina dalam tong cat yang dipotong separuh sebagai tempat untuk haiwan itu bertelur, setiap seekor mampu menghasilkan tiga biji telur dalam tiga hari.

Selepas bertelur, ayam akan diasingkan dalam tempat khas selama 14 hari bagi mengubati ketegangan yang dialami haiwan itu kerana tidak mampu mengeram telur dihasilkannya.

Mohd Farid berkata, naluri ayam betina yang sudah bertelur, pasti ingin mengeramkan telurnya sendiri, tetapi ia tidak dapat berbuat demikian kerana telur itu diasingkan dalam bekas khas antara tiga hingga lima hari sebelum dimasukkan ke dalam mesin pengeraman telur atau inkubator.

"Seunit mesin inkubator mampu menampung 1,056 biji telur untuk dieram selama 18 hari dan dengan lima mesin berkenaan, sebanyak 5,280 biji telur mampu dieram.

"Setiap telur itu dicatat tarikh mula dieram dan tarikh perlu dikeluarkan dari mesin sebelum dimasukkan ke dalam mesin penetasan selama tiga hari," katanya.

Suhu pengeraman yang dihadkan dalam mesin berkenaan ialah 38 darjah Celsius manakala suhu kelembapan 65 peratus.

MAKANAN berkualiti diberikan.
MAKANAN berkualiti diberikan.

Bagi proses penetasan pula, suhu ditetapkan ialah 37.5 darjah Celsius dan kelembapan 70 peratus bagi memudahkan anak ayam menetas.

Anak ayam yang sudah menetas ditempatkan dalam reban yang dipastikan sentiasa diterangi lampu bagi mengekalkan suhu supaya anak ayam tidak kesejukan dan akhirnya mati.

Seekor anak ayam berusia antara empat hingga tujuh hari dijual pada RM3.50 manakala yang berusia antara tujuh hingga 14 hari bernilai RM4 seekor.

"Setiap bulan kami mampu menghasilkan kira-kira 6,000 ekor anak ayam kampung asli untuk dipasarkan ke seluruh Melaka dan beberapa kawasan di Perak, Selangor dan Pahang," katanya.

Berikutan komitmen jitu dipamerkan kedua-dua penternak itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) memilih mereka menyertai Projek Pengembangan Ayam Kampung Baka MARDI baru-baru ini.

Untuk tujuan itu, Mardi memberikan mereka dua unit mesin pengeraman telur ayam kampung dengan setiap unit mampu menampung 3,168 biji telur, selain seunit mesin penetasan juga dengan keupayaan yang sama.

Projek berkenaan dijangka mula mengeluarkan hasil pada pertengahan 2021, sekali gus meningkatkan kemampuan Mohd Farid dan Basri untuk muncul sebagai antara pengeluar anak ayam kampung asli utama di Melaka serta Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 6:37 AM