ANAK ayam kampung sebagai ternakan sampingan.
ANAK ayam kampung sebagai ternakan sampingan.
INDUK ayam belanda mengeram telur di dalam reban khas.
INDUK ayam belanda mengeram telur di dalam reban khas.
AYAM belanda diberi makan dedak.
AYAM belanda diberi makan dedak.
LEBIH 200  ayam belanda diternak Misri.
LEBIH 200 ayam belanda diternak Misri.
Shaiffulazhar Misri


Selepas bersara sebagai anggota polis marin di Melaka pada tahun 2004, Misri Mohd Naib, 68, membela tiga pasang ayam belanda di belakang rumahnya di Seri Menanti, Parit Jawa, Muar, Johor,

Tujuannya ketika itu hanya mahu mengisi masa lapang, apatah lagi kawasan sekitar kediamannya agak luas.

“Kebetulan suatu hari seorang peraih ternampak ayam belanda di halaman rumah dan bertanya adakah saya mahu menjualnya.

“Sejak itu, saya menternak lebih banyak ayam berkenaan dan menghantar antara 15 hingga 20 ekor kepada peraih berkenaan setiap minggu," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Misri berkata, pada awal tahun ini, pengeluaran agak berkurangan kerana jerebu, namun kini makin pulih apabila telur ayam belanda yang dieramkan banyak yang menetas.

Katanya, dia turut mendapat peruntukan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Muar untuk pembinaan reban dan inkubator untuk mengeram telur.

“Ini kerana anak ayam ternakan saya makin bertambah selain menjadi tempat rujukan beberapa pelajar daripada universiti awam dan swasta.

“Ayam belanda sesuai dijual selepas berusia 50 hari ke atas. Harga pasaran semasa ialah RM21 sekilogram tanpa proses.

“Ayam belanda sesuai dimakan selepas beratnya melebihi empat kilogram. Berat maksimum ayam belanda yang pernah saya ternak ialah enam kilogram,” katanya.

Misri berkata, ayam belanda mudah diternak, tetapi perlu mempunyai kawasan agak lapang bergantung kepada jumlah ternakan.

Dia juga menternak ayam kampung yang bertindak sebagai pembersih serpihan makanan yang tidak dimakan ayam belanda.

“Proses penetasan telur ayam belanda dilakukan secara inkubator dan semula jadi bergantung kepada kitaran pengeluaran ayam induk.

“Ini kerana telur pada awal kitaran perlu dimasukkan ke dalam inkubator bagi mengelaknya tembelang manakala telur yang dihasilkan pada penghujung kitaran perlu dieram induk,” katanya.

Menurutnya, harga pasaran ayam belanda yang agak baik menarik minatnya untuk menternak secara komersial.

“Saya memang buka peluang kepada sesiapa yang ingin membuat rujukan kerana mempunyai lebih 200 ayam belanda.

“Saya juga menggalakkan golongan belia menceburkan diri dalam penternakan ayam belanda kerana harganya agak tinggi selain boleh dijadikan pendapatan sampingan kepada mereka yang berminat dalam ternakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2016 @ 7:08 AM