Siti Rohana Idris


LELAKI parah akibat ditetak bertubi-tubi oleh lelaki dipercayai kurang siuman di rumahnya di Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, hari ini.

Dalam kejadian 4.30 petang, mangsa dikenali sebagai Khairi, 45, dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menerima rawatan.

Anak saudara mangsa, Mohd Amir Rasdi, 19, berkata dia ternampak lelaki berusia 20-an berjalan dari jalan utama dan membelok ke taman perumahan mereka.

"Dia tidak berbaju dan memakai seluar pendek sambil membimbit sebuah bakul, tetapi saya yang sedang mengecat sangkar burung di hadapan rumah tidak mengendahkannya.

"Secara tiba-tiba, dia terus masuk ke dalam rumah sambil melaungkan selawat lalu mengambil parang dalam bakul dibawanya dan meluru ke arah bapa saudara yang sedang berbual bersama beberapa sepupu.

"Lelaki itu terus menetak bapa saudara yang melarikan diri ke dapur tanpa belas kasihan dan keluar tidak lama kemudian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Menurutnya, lelaki itu terus keluar dari rumah mereka dan berlagak seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Katanya, dia bersama beberapa sepupu segera ke dapur dan melihat keadaan mangsa berlumuran darah.

"Bapa saudara mengerang kesakitan sambil menyebut 'Allahuakbar' dan di tubuhnya terlalu banyak kesan tetakan terutama di bahagian lengan kiri," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, pihak polis sudah menahan suspek untuk siasatan lanjut.

MANGSA seorang lelaki dikenali sebagai Khairi, 45, cedera parah di seluruh tubuh setelah ditetak bertubi-tubi oleh suspek di bahagian dapur rumahnya di Wakaf Mek Zainab. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
MANGSA seorang lelaki dikenali sebagai Khairi, 45, cedera parah di seluruh tubuh setelah ditetak bertubi-tubi oleh suspek di bahagian dapur rumahnya di Wakaf Mek Zainab. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 7:57 PM