Bukan hanya wang atau peralatan antik, namun kenderaan seperti basikal dan motosikal juga kini menjadi perhatian generasi muda. SHUHADA MANSOR kongsi beberapa barangan klasik dikejar anak muda.

Persepsi berbeza boleh kita dengar apabila membincangkan isu barangan lama. Ada berpendapat, hobi mengumpul bara­ngan antik ini memerlukan kos tinggi kerana nilai bara­ngan itu semakin me­ningkat saban tahun. Ada yang menyoal kenapa perlu me­nyimpan khazanah lama sedangkan kehidupan semakin moden, sekali gus menjadikan ia kurang bernilai.

Berlainan pandangan bagi kelompok masyarakat yang gilakan barang lama. Tidak hanya tertumpu kepada setem, mata wang asing bahkan kini apa saja produk yang dikeluarkan lebih daripada 10 tahun lalu dianggap vintaj dan bernilai tinggi.

Gen Y kongsikan beberapa barangan lama yang kini dikejar generasi muda. Lebih menarik apabila ada di antara mereka yang sanggup berbelanja lebih untuk mengubah suainya menjadi seperti yang diidamkan.

MOTOSIKAL

Menonton kembali filem klasik ataupun teringat kenderaan lama digunakan bapa atau datuk ketika kecil mungkin ada sebab anak muda kini semakin berminat untuk memiliki motosikal lama.

Keinginan itu sekali gus ada dalam kalangan generasi Y kini yang mewujudkan kumpulan peminat motosikal klasik sesama mereka. Antara motosikal antik yang diburu termasuk Honda C70, Yamaha model RX-100, Suzuki TRS 118 dan Kawasaki GTO 125 kerana semua motosikal ini sukar ditemui selain mempunyai permintaan tinggi.

Model lain yang turut dicari ialah Yamaha RX-Z 5 Speed, RX-S dan Suzuki GP100 dan pelbagai model motosikal keluaran 80-an dan 90-an.

Dianggarkan motosikal lama boleh didapati de­ngan harga permulaan sekitar RM400 sebuah bergantung kepada model dan keadaan motosikal. Pencarian motosikal ini tidak terhad kepada kategori retro saja bahkan motosikal jenis cub, Vespa dan klasik turut menjadi buruan.

Remaja kini dapat menilai barangan ini dengan baik walaupun kita belum dilahirkan lagi ketika barangan itu dikeluarkan.

BAJU & JERSi BOLA

Pakaian bukan hanya dipakai tetapi bagi peminat baju lama, setiap helai baju yang dikumpul mampu menceritakan kelainan pada diri mereka.

Sebagai contoh, baju daripada jenama Levi’s, Ralph Lauren, jaket dan jersi mempunyai permintaan tinggi daripada penggemar dan pengumpul pakaian yang inginkan kelainan.

Nilai pakaian ini mampu mencecah ribuan ringgit, lebih-lebih jika ia dikeluarkan dalam edisi khas dengan jumlah sedikit. Situasi ini boleh menjadikan harga setiap baju itu melambung tinggi walaupun pernah mempu­nyai pemilik sebelum ini dan berstatus terpakai.

Sehelai kemeja Levi’s Big E Orange Tab yang dikeluarkan sekitar 70-an antara tergolong dalam kategori ini dan ia kini dijual pada harga RM688. Jersi pasukan bola sepak Manchester United 1982 contohnya dijual bermula pada harga RM250.

Jika dulu orang ramai melihat pakaian terpakai atau bundle adalah murah tetapi kini nilai baju tertentu lebih mahal berbanding harga semasa. Penggemar dan pengumpul mempunyai ‘kuasa’ kerana setiap pakaian yang ada terletak pada harga sesuatu permintaan dan berapa yang pembeli sanggup tawarkan kepada penjual.

KASUT

Sebahagian model dan bentuk kasut mungkin menampakkan jelas bahawa ia dikeluarkan sekitar 10 hingga 20 tahun lalu. Namun percaya atau tidak, remaja kini masih mencari kasut lama ini untuk dijadikan kolek­si. Antara kasut kegilaan termasuk sneaker berjenama Aliph bermula dengan harga RM500 dan ke atas.

Kesimpulannya, vintaj yang satu ketika dulu sinonim dengan orang tua kini hobi ini menular dalam kalangan remaja. Semakin kita menghargai barang lama semakin tinggi nilai estetikanya.

Bermula dari aspek pakaian, botol minuman, perabot, alat permainan hinggalah sebesar-besar barang seperti kereta pasti ada peminat tegar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 11:56 AM